Pemuda UMNO akan lebih agresif jika suara mereka

Pemuda UMNO akan lebih agresif jika suara mereka ‘dibakul sampahkan’

MUHAMAD Akmal Saleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pergerakan Sayap Pemuda UMNO memberi amaran untuk bertindak lebih agresif jika suara mereka terus ‘dibakul sampahkan’ oleh kepemimpinan parti selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Ketuanya, Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, sayap Pemuda tak mampu melihat UMNO terus jatuh setiap kali adanya pilihan raya dan mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan parti itu ke maruahnya yang sebenar.

Beliau berkata, atas dasar mengambil tanggungjawab kekalahan UMNO pada PRN di enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan buat kali pertama dalam sejarah parti, Pemuda mengadakan ‘post mortem’ secara telus untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi.

Dr. Akmal pada ucapan pembukaannya turut memberi jaminan jika keputusan ‘post mortem’ yang diadakan pihaknya mendapati bahawa beliau sendiri menjadi punca kemerosotan UMNO, beliau berani meletakkan jawatannya demi survival parti.

“Jika suara kita tak didengar, maka, kita akan melakukan sesuatu. Ini adalah amaran keras daripada Pemuda. Jika tiada apa-apa yang berlaku (perubahan) maka kita akan bertindak.

“Jika suara Pemuda tidak didengar, maka, berhadapanlah dengan suara Pemuda seluruh negara. Ini bukan soal Dr. Akmal sebagai Ketua Pemuda UMNO (tetapi) ini adalah soal masa depan generasi kita yang jauh lebih penting daripada jawatan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Post Mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO Malaysia, di sini, hari ini.

Pada PRN baru-baru ini, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) menunjukkan reputasi terburuk dalam sejarah apabila hanya menang di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 108 kerusi yang ditandinginya.

Bagaimanapun, pemberita tidak dibenarkan untuk mengikuti keseluruhan perbincangan post mortem yang diadakan Pemuda sebaliknya diminta meninggalkan dewan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) sebaik Dr. Akmal selesai memberi ucapan.

Ketika berkongsi penerimaannya apabila mengikuti keputusan PRN baru-baru ini, Dr. Akmal berkata, jika ikut hatinya, beliau mahu mengeluarkan kenyataan pada malam Sabtu lalu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan.

“Kalau nak ikut diri saya, Sabtu malam saya nak keluarkan kenyataan, tapi kenyataan tanpa berbincang dengan kepimpinan Pemuda adalah tidak adil walaupun saya adalah Ketua Pemudanya.

“Tapi hari ini kita berani bersemuka dengan realiti sebenar. Hari ini, tiada lagi masa kita nak takut untuk nyatakan kebenaran tapi pada masa sama perlu menjaga adab dan tatasusila,” katanya.

Tegasnya, Pemuda meraikan perbezaan pendapat, justeru, perbincangan yang dilaksanakan perlu dibuat dalam suasana kekeluargaan, namun, dapat memberi isyarat bahawa proses rejuvenasi UMNO bermula dengan Pemudanya.

“Saya tak mengharap semua akan setuju dengan saya, tapi saya hendak dengar suara Pemuda untuk saya berani suarakan kepada kepimpinan. Tugas kita berat, apa yang kita putuskan hari ini adalah menentukan perjalanan sebagai Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN