Pembangkang Sarawak bergabung bersama komponen parti GPS pada Disember ini  - Utusan Malaysia

Pembangkang Sarawak bergabung bersama komponen parti GPS pada Disember ini 

TIONG King Sing (empat dari kiri) dan Wong Soon Koh (empat dari kanan) pada Majlis Makan Perpaduan PDP dan PSB di Sibu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU: Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dijangka mewujudkan gabungan kedua parti Disember ini, kata Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jelas beliau, kedua-dua parti itu perlu mencari jalan yang ideal bagi mewujudkan kerjasama untuk bergabung.

“Saya mempunyai harapan untuk kedua-dua parti ini, justeru dengan gabungan yang terjalin mampu untuk kita bersama-sama mencari jalan ke hadapan. Fokus kepada kerjasama dan bagaimana kita boleh bekerjasama.

“Pada masa yang sama, penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi peluang dan ruang kepada kami (PDP-PSB) bagi menjalinkan kerjasama antara dua parti ini,” katanya pada Majlis Makan Perpaduan PDP dan PSB di sini.

Pada Julai lalu, PSB yang merupakan parti pembangkang Sarawak mengumumkan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak.

Sokongan tersebut membawa PSB dan PDP menandatangani satu perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur bagi membentuk kerjasama, pada masa yang sama bertujuan untuk menggabungkan kedua-dua parti tersebut.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pilihan mereka untuk menyokong kepemimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

Justeru King Sing menegaskan agar supaya parti-parti lain tidak membuat spekulasi atau mempunyai pandangan negatif tentang gabungan kedua-dua parti itu.

Sementara itu Soon Koh menyatakan bahawa satu jawatankuasa peringkat tinggi akan dibentuk bagi merangka agenda tindakan dalam melaksanakan gabungan kedua-dua parti itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan berkata, parti itu nanti akan dipimpin oleh King Sing sebagai Presidennya.

“Sudah tentu di peringkat awal terdapat butiran-butiran halus yang perlu diatur.

“Saya yakin bahawa dengan keikhlasan dan sikap memberi dan mengambil, segala perkara boleh diatur dengan lancar antara PDP dan PSB,” tambahnya.

Ditanya sama ada gabungan kedua-dua parti itu nanti akan menggunakan nama baru, beliau memberi jaminan akan kekalkan nama PDP yang merupakan komponen parti GPS.

“Apa-apa pun kita akan terus berbincang berhubung kait perlembagaan, peraturan, dan perkara-perkara lain yang akan dipersetujui oleh kedua-dua parti,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya