JOHOR BAHRU: Para pengunjung berpeluang meraih pahala dengan mewakafkan al-Quran sempena Festival Majestic Johor (MJF) 2023 yang berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri di sini hingga 3 September ini.
Ketua Operasi SMM Distributor, Zul Hezad Md. Sah berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 220 naskhah al-Quran diwakafkan para pengunjung yang memeriahkan festival itu.
“Syarikat SMM Distributor adalah pencetak dan pembekal al-Quran mengambil inisiatif bagi membantu tahfiz-tahfiz yang memohon al-Quran kepada kami.
“Pada masa ini terdapat permohonan daripada sekolah menengah tahfiz al-Quran di Cenderah, Jasin yang memohon sebanyak 220 naskhah al-Quran yang sedang kami usahakan.
“Para pewakaf boleh infak senaskhah al-Quran dan niat atas nama ahli keluarga yang meninggal dunia. Nanti pelajar tahfiz ini akan membuat majlis tahlil, bacaan yasin dan doa selamat bagi ahli keluarga pewakaf,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, wakaf al-Quran berkenaan akan digunakan untuk tempoh lima tahun dan ditempatkan di sekolah tahfiz tersebut untuk kegunaan pelajar lain pula.
Menurutnya, pada masa ini permohonan al-Quran daripada sekolah menengah tahfiz di Cenderah itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pihaknya menerima permohonan baharu dari sekolah lain.
“Bagi senaskhah al-Quran, penginfak boleh mewakafkan nama untuk satu keluarga. Mereka juga boleh meletakkan nama ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia tanpa had.
“Jadi, menerusi festival ini kita beri peluang kepada orang Johor untuk merebut pahala dengan mewakafkan al-Quran untuk kegunaan pelajar di sekolah itu.
“Kami juga menyasarkan untuk tempoh lima hari kami boleh capai sebanyak 220 naskhah al-Quran diwakafkan dan dapat buat penghantaran terus ke Jasin apabila pulang nanti,” katanya.-UTUSAN