Peluang kerjaya hufaz lebih luas dengan TVET

Peluang kerjaya hufaz lebih luas dengan TVET

MUSTAPHA Sakmud (tengah) bersama Mohammed Firdaus Johari beramah mesra bersama pelajar tahfiz selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah Rakan Kongsi Strategik ILP Kepala Batas di Maahad Tahfiz Vokasional Ahmadiah di Gurun, Sungai Petani. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pelaksanaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di pusat tahfiz bukan sahaja memperkasa pengetahuan dan kemahiran pelajar malah menyediakan peluang kerjaya lebih luas kepada mereka. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pelajar yang mengikuti bidang TVET Tahfiz juga mampu menceburi bidang pekerjaan berasaskan kemahiran di samping terlibat dalam kerjaya berasaskan keagamaan.

“Dengan TVET ini kita lahirkan bukan setakat hufaz yang boleh menghafal al-Quran, tetapi pada masa sama mereka yang berkemahiran ini kita jenamakan sebagai teknokrat Madani sesuai dengan gagasan negara kita iaitu Malaysia MADANI.

“Bukan sahaja boleh menjadi imam nanti dan guru agama atau terlibat dalam pengurusan masjid, tetapi mereka boleh menjadi juruelektrik dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Tahfiz Vokasional Ahmadiah Rakan Kongsi Strategik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mudir Tahfiz Vokasional Ahmadiah, Fadzil Noor Sahani dan calon Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Dalam pada itu, Fadzil Noor berkata Tahfiz Vokasional Ahmadiah mendapat sokongan daripada ILP Kepala Batas bagi menjalankan jurusan mekanikal untuk pelajar di pusat pengajian berkenaan.

“Kita mendapat kebenaran pentauliahan sebagai tempat yang bukan hanya menawarkan sijil kemahiran kepada pelajar tahfiz, namun turut dibuka kepada individu lain yang berminat,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Firdaus berkata, usaha itu merupakan salah satu perkara dalam manifestonya pada PRN kali ini untuk memperkasakan TVET vokasional Madani bagi golongan muda khususnya pelajar tahfiz di kawasan itu.

“Program TVET ini akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz. Mereka juga boleh menyertai program MyFuture Jobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana banyak syarikat swasta menawarkan peluang pekerjaan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya