PETALING JAYA: Sudah lama kita tidak menyaksikan sebuah naskhah yang menghimpunkan ramai artis veteran. Astro Warna berjaya menyahut cabaran tersebut apabila hadir dengan sebuah program komedi variasi baharu berjudul Aunty Reporting For Duty, sempena bulan kemerdekaan.
Program itu bakal mencabar barisan artis veteran wanita iaitu Norlia Ghani, Engku Faridah, Rosnah Mat Aris dan Didie Alias serta penampilan pelakon senior, Noorkhiriah dalam mengharungi pelbagai pekerjaan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, program itu turut memaparkan pelbagai reaksi spontan dan mencuit hati apabila ‘aunty aunty’ ini terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak pernah terlintas di kepala mereka.
Disiarkan sebanyak sembilan episod, barisan ‘Aunties’ berusia antara 46 hingga 74 tahun ini diberi tugas untuk mencabar diri mereka dalam pelbagai pekerjaan yang menguji fizikal, mental dan emosi termasuk sebagai nelayan, pramugari, renjer hutan, atlet, mekanik serta bidang-bidang yang memerlukan kepekaan dan teknik yang betul seperti paramedik.
Pelbagai reaksi dan aksi lucu bakal disaksikan penonton apabila realiti dan karakter sebenar setiap barisan selebriti senior ini yang tidak pernah diketahui oleh khayalak ramai, terkeluar semuanya dalam Aunty Reporting For Duty.
Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari berkata, penonton bakal menyaksikan realiti karakter dan perangan sebenar mereka di luar set penggambaran berbanding hanya melihat lakonan dalam drama dan telefilem.
“Karakter barisan selebriti yang kita tampilkan dalam program ini, pastinya sangat ‘relatable’ dan dekat dengan penonton. Cuba anda bayangkan jika ibu, mak cik atau nenek kita dalam situasi itu?
“Anda tidak akan kering gusi menyaksikan kerenah lima ‘Aunties’ ini melakukan pekerjaan luar daripada keselesaan mereka yang belum pernah dipaparkan di mana-mana platform.
“Program ini juga membuktikan usia dan jantina bukanlah penghalang untuk mempelajari perkara baharu, iaitu luar daripada keselesaan kita,” katanya.
Aunty Reporting For Duty akan ditayangkan pada setiap hari Khamis, pukul 9 malam, bermula 31 Ogos secara eksklusif di saluran Astro Warna (107).