PETALING JAYA: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita warga Thailand dipercayai dalang sindiket pengedaran melalui tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada 18 Ogos lalu.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam hingga 9.15 malam yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Pertama, Cheras dekat sini dan pihaknya menahan seorang lelaki tempatan serta lelaki dan wanita warga Thailand berusia antara 23 hingga 30 tahun.
Katanya, susulan itu, pihaknya membuat serbuan kedua di tempat letak kereta Solaris Dutamas dan merampas 15 bungkusan dadah.
“Dadah jenis syabu seberat 16 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM520,000 itu ditemukan di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra.
“Kita kemudian membuat serbuan ketiga di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras dan menahan seorang wanita warga Thailand berusia 30 tahun dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Allaudeen, pemeriksaan mendapati suspek lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang ditahan dalam serbuan pertama adalah suami isteri bekerja di sebuah kedai tom yam, manakala lelaki tempatan pula bekerja di sebuah ladang kuda di Selangor.
Jelas beliau, sindiket ini dikesan bergiat aktif mengedar dadah di sekitar ibu negara sejak dua bulan lalu dengan modus operandinya menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserah kepada pembeli.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan punca bekalan dadah syabu berkenaan diperoleh sindiket terbabit.
“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati tiga daripada empat suspek berkenaan kecuali dalang sindiket itu positif dadah jenis methamphetamin, ketamin serta ganja,” katanya
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh menampung penggunaan seramai 30,000 penagih dadah.
“Semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula 18 Ogos hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Beliau berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota ini dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandaraya yang selamat.
“Segala maklumat berkaitan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – UTUSAN










