Pak Long terus pertahan alu bunyi seni warisan ratusan tahun Perlis - Utusan Malaysia

Pak Long terus pertahan alu bunyi seni warisan ratusan tahun Perlis

SEKUMPULAN kanak-kanak menyaksikan persembahan alu bunyi iaitu kesenian dan warisan Perlis berusia lebih 200 tahun yang terus bertahan di kawasan sawah padi berlatar belakangkan bukit di Kampung Nesam, Bintong, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selain seni warisan Awang Batil yang sinonim dengan negeri ini, Perlis juga mempunyai kesenian dan warisan lain berusia lebih 200 tahun iaitu persembahan alu bunyi.

Alu bunyi cukup popular pada zaman dahulu yang dimainkan dalam kalangan pesawah padi khususnya selepas musim menuai.

Ia juga merupakan warisan budaya tidak ketara yang menjadi persembahan kesenian kedua tertua di Perlis selepas Awang Batil.

Persembahan kesenian warisan tersebut difahamkan berasal dari Kampung Nesam, Bintong di sini dan dimainkan menggunakan peralatan mengemping padi terdiri daripada alu dan lesung.

Alu bunyi kebiasannya dimainkan secara berkumpulan antara tujuh ke lapan orang dengan diiringi alatan muzik lain seperti gong, serunai dan gendang bagi menghasilkan irama tradisional yang cukup merdu.

Kumpulan tersebut juga sebelum ini pernah dianggotai oleh pelawak popular tanah air, iaitu Allahyarham Yussry Eddo yang lebih dikenali sebagai Yus Jambu.

PEWARIS seni persembahan alu bunyi, Saidin@Mahmud Hashim, 74, bersama ahli kumpulan persembahan alu bunyi di Kampung Nesam, Bintong, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pewaris seni persembahan tersebut, Saidin@Mahmud Hashim, 74, yang lebih mesra disapa Pak Long berkata, alu bunyi cukup sinonim dengan Perlis memandangkan pesawah pada zaman dahulu menjadikan ia sebagai hiburan selepas musim menuai.

“Pukulan alu ke atas lesung menghasilkan rentak seakan sama dengan rentak yang ditiup serunai sekali gus menghasilkan bunyi yang sungguh menarik dan mempesona,” katanya.

Tambah bapa kepada tiga anak itu yang lebih mesra disapa sebagai Pak Long, kayu yang digunakan bagi menghasilkan alu terdiri daripada kayu tui manakala lesung padi pula dihasilkan dengan menggunakan kayu nangka.

Saidin yang juga merupakan pewaris generasi ketiga persembahan kesenian tersebut memaklumkan bahawa dia belajar bermain alu bunyi sejak usia kecil lagi dan warisan itu masih terus diperjuangkan olehnya sehingga kini.

“Sementara menunggu musim baharu menanam padi pada zaman dahulu, masyarakat tempatan kebiasan mula mengadakan pesta keramaian angin timur dengan persembahan alu bunyi, tarian canggung, hadrah dan mengemping padi,” katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan seni tradisi tersebut dapat terus dihidupkan, dia turut mewarisi persembahan kebudayaan berkenaan kepada tiga anaknya, iaitu Masme Mahmud, 49, Masnizam, 38, dan Mazlan, 35, agar tidak hilang atau pupus ditelan zaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya