Padah mabuk, bapa dipukul sampai mati

Padah mabuk, bapa dipukul sampai mati

SEORANG lelaki mati dibunuh anak lelakinya dalam kejadian di Taman D'Ambang Kota, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang bapa yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipukul hingga mati oleh anak lelakinya dalam kejadian di Lukut, di sini tengah malam tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa seorang pemandu lori berusia 49 tahun telah menampar isterinya dan pada masa sama telah berlaku pertengkaran antara mangsa serta anak lelakinya di halaman rumah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa berusia 26 tahun yang memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

“Hasil siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa mabuk dan bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya iaitu suspek. Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati dengan bapanya yang mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising,” katanya di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian pada pukul 1.15 pagi. Mayatnya telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat. Suspek kemudian  ditahan polis pada pukul 1.20 pagi di hadapan rumah mangsa untuk dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari sehingga 9 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam pada itu, sumber berkata, isteri mangsa tidak melihat bagaimana pergaduhan berlaku, namun terdapat pendedahan daripada suspek memaklumkan telah memukul bapanya dengan menggunakan sebatang kayu.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di hadapan pintu rumah dengan kesan darah di kepala.

“Pemeriksaan pada mayat itu mendapati terdapat kesan lekuk di bahagian atas kepala serta berdarah, bagaimanapun tiada kesan kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN