Rona lembut dan neutral semakin menjadi pilihan ramai pemilik kediaman untuk menghidupkan suasana tenang dan nyaman.
Begitu juga dengan pemilik kediaman, Amy Asmidar Md. Saad yang mengetengahkan konsep Neutral Organik dalam tatarias kediaman semi-D dua tingkatnya.
Kata Amy, pemilihan konsep itu dibuat kerana ia menciptakan suasana tenang dan menyegarkan, selain membuatkan suasana lebih ‘hidup’.
“Kelebihannya ia mudah dipadankan dengan perabot dan warna lembut.
“Konsep ini memberikan kesejahteraan dan kesenangan kepada penghuni dengan suasana yang nyaman dan indah.
“Konsep ini juga mudah untuk diubahsuai di masa hadapan sekiranya saya mahu melakukan perubahan yang lebih kontra,” katanya kepada Seri.
Pelan dekorasi dan renovasi rumah itu direncanakan dalam lima fasa, dengan jangka masa selama lima tahun.
Beliau yang sudah dua tahun menduduki rumah berkenaan berkata, warna-warna yang digunakan biasanya adalah warna neutral seperti putih, krim, dan beige.
Warna-warna ini memberikan keadaan yang tenang dan tidak menonjol serta membenarkan objek hiasan dan perabot lain untuk menonjolkan keunikan dan kecantikan perabot dan hiasan.
“Konsep neutral dan organik biasanya mudah dipadan dengan pelbagai gaya dekorasi, dari moden hingga klasik. Ini memberi fleksibiliti dalam memilih perabot dan hiasan yang sesuai dengan citarasa peribadi.
“Warna neutral dan cahaya semula jadi membantu mencipta ilusi ruang yang lebih besar dan terang. Ini amat baik jika ruangan agak kecil,” ujarnya yang sering berkongsi tips dekorasi di akaun Instagram @az.havenblessed.
Bagaimana pun, katanya, penggunaan warna neutral yang dominan boleh menjadikan rumah nampak bosan dan kurang menarik.
Untuk mengatasinya, kata Amy, perlu bijak dalam memilih aksesori dan hiasan untuk menambah dimensi dan tarikan visual.
“Konsep ini tidak sesuai untuk semua orang terutamanya mereka yang lebih gemar warna-warna cerah dan pelbagai serta reka bentuk yang lebih menonjol,” tambahnya.
Elemen penting
* Warna Cat Lembut: Pilihan rona cat lembut seperti krim, pastel, atau beige akan membantu mewujudkan suasana tenang dan menyelaraskan dengan tema neutral dan organik. Pastikan warna cat ini memberikan sentuhan menyamankan dan harmoni.
* Aksesori Kayu: Hiasan-hiasan seperti kerangka gambar atau dekorasi dinding menggunakan bahan kayu, menambahkan dimensi kepada tema kayu dan neutral. Ini boleh menjadi titik tumpu visual yang ringan tetapi efektif.
* Tekstur Alami: Tekstur alami seperti kain tenunan, bantal dekoratif berbahan kain, perabot dengan tekstur kayu seperti meja makan memberikan sentuhan organik dan keseimbangan kepada tema rumah konsep ini.
* Hiasan Minimalis: Pemilihan hiasan yang tidak terlalu menonjol akan mengekalkan keadaan yang tenang dan tidak terlalu sibuk dalam dalaman rumah anda. Pilih aksesori ringkas tetapi mempunyai keindahan tersendiri.
* Pencahayaan Lembut: Gunakan pencahayaan yang lembut dengan penggunaan langsir linen bagi sesetengah ruang dan penggunaan kipas yang bertekstur kayu. Ini akan menambah sentuhan sesuai dengan tema.










