Najib gagal tangguh bicara 1MDB

Najib gagal tangguh bicara 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam gagal menangguhkan perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya sementara menunggu rayuan berhubung penyingkiran hakim bicara kes itu diputuskan.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO memohon perbicaraan itu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya berhubung permohonannya untuk menyingkirkan hakim bicara, Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada terus mendengar perbicaraan tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak permohonan itu atas alasan ia tiada merit dan tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan.

Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M. Komathy Suppiah.

“Pada pandangan kami, demi kepentingan awam, kes wajar diteruskan. Perbicaraan telah memasuki tahap advance yang mana seramai 46 orang telah memberi keterangan. Perbicaraan telah memasuki hari ke-173.

“Dalam hal sedemikian, tiada alasan yang mendesak untuk membolehkan satu penangguhan diberikan. Berdasarkan alasan yang diberi, kami mendapati permohonan ini tidak mempunyai sebarang merit. Permohonan dengan ini ditolak,” kata Hakim Hadhariah ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Dengan keputusan itu, perbicaraan yang dijadualkan bersambung Isnin ini (28 Ogos) diteruskan dengan soal balas terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Rayuan tersebut difailkan rentetan keputusan Hakim Sequerah pada 18 Ogos lalu menolak permohonan Najib yang memintanya menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB selepas hakim itu mendedahkan beliau mengenali bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Najib memfailkan permohonan agar Hakim Sequerah menarik diri ketika perbicaraan memasuki hari ke-167.

Selain menarik diri, Najib turut memohon agar perbicaraan kes itu dibatalkan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada 25 pertuduhan yang dihadapinya.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menyatakan, mahkamah boleh mengarahkan agar perbicaraan itu dibicarakan semula di hadapan hakim baharu atau diteruskan di hadapan hakim baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN