PETALING JAYA: Dua rakan sekerja maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat USJ/Hicom Persiaran Klang, Subang Jaya di sini semalam.
Kejadian pukul 2.05 pagi itu membabitkan dua lelaki warga Bangladesh, masing-masing berusia 26 dan 29 tahun yang disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis LC135 dalam perjalanan dari arah Persiaran Kewajipan ke arah Shah Alam.
“Ketika motosikal itu sedang bergerak lurus di persimpangan lampu isyarat USJ/HICOM Persiaran Klang, pada masa sama sebuah SUV jenis Proton X50 membelok ke kanan dari arah Plaza Tol USJ ke arah Persiaran Kewajipan.
“Dua kenderaan itu bertembung di tengah persimpangan lampu isyarat berkenaan. Penunggang dan pembonceng motosikal disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu SUV terselamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Sehubungan itu, kita mohon saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Bahagian dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN