Melaka pertimbang penswastaan fasiliti sukan

Melaka pertimbang penswastaan fasiliti sukan

VP. Shanmugam dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Fasiliti sukan di negeri ini dipertimbangkan untuk penswastaan bagi memastikan kemudahan itu sentiasa dalam keadaan baik dan tidak usang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP. Shanmugam berkata, cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum diputuskan untuk diswastakan.

Katanya, inisiatif tersebut bukan bertujuan untuk mencari keuntungan sebaliknya memastikan kemudahan sukan sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan pada bila-bila masa.

“Kemudahan sukan berkualiti juga mampu menarik minat negeri lain untuk menganjurkan kejohanan atau sebarang aktiviti di Melaka yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun cadangan ini perlu mendapat kelulusan Ketua Menteri, sebelum diputuskan dan diswastakan. Penswastaan mungkin membabitkan padang bola sepak, padang futsal, gelanggang takraw atau lain-lain kemudahan yang dibina kerajaan.

“Namun ia bergantung kepada kehendak dan keperluan, apabila ada baharu kita swastakan, tetapi belum muktamad. Saya akan berikan cadangan kepada Ketua Menteri dan beliau akan putuskan yang terbaik untuk Melaka,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Shanmugam, terdapat beberapa fasiliti telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah.

Menurutnya, beliau juga telah memohon dengan beberapa syarikat untuk menaik taraf kemudahan berkenaan.

“Contohnya di DUN Gadek, saya meminta kilang Honda untuk membina sebuah dewan serbaguna yang boleh menampung 2,000 tetamu yang turut dilengkapi fasiliti sukan. Kita sudah kenal pasti tapak tapi masih menunggu keputusan Honda Malaysia.

“Saya juga minta beberapa syarikat untuk membantu menaik taraf fasiliti di kawasan lain seperti gelanggang takraw, futsal dan lain-lain. Kita mengalu-alukan jika ada syarikat yang berminat mengurus dan menjaga fasiliti sukan tetapi dengan syarat mereka kena bagi percuma apabila kerajaan mahu menggunakannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN