Mangsa penipuan hantar maklumat tambahan, gesa polis siasat

Mangsa penipuan hantar maklumat tambahan, gesa polis siasat

HISHAMUDDIN Hashim yang mewakili mangsa menghantar maklumat tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 150 mangsa yang terlibat dengan penipuan pelaburan telah menghantar maklumat tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili mangsa berkata, penyerahan maklumat tambahan itu diharap dapat digunakan PDRM dalam melakukan siasatan itu di bawah Seksyen Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menegaskan, beberapa laporan polis telah dibuat mangsa-mangsa berkenaan pada Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul namun mereka mendakwa tidak diberikan sebarang perkembangan semasa mengenai aduan yang dilakukan.

“Pihak kita telah mendesak pihak polis untuk memberikan perkembangan lanjut terhadap aduan yang dibuat tetapi mereka klasifikasi kes berkenaan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau Refer to Other Agency (ROA).

“Mangsa-mangsa ini tidak berpuas hati, mengapa kertas siasatan itu diklasifikasi sebagai ROA sedangkan cukup jelas mereka telah ditipu oleh syarikat pelaburan berkenaan.

“Justeru itu, hari ini, kita hadir sekali lagi memberikan maklumat tambahan mengenai syarikat-syarikat yang telah menipu ini bagi siasatan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 415 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak 500 laporan beserta penyata tambahan daripada mangsa-mangsa diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi siasatan lanjut.

Penyerahan laporan berkenaan diserahkan kepada wakil JSJK, Asisten Komisioner Ahmad Azizul Mohamed.

Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata, aduan juga telah dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebaik laporan polis dibuat.

“Bila pihak kita (MHO) hantar pula aduan disana, siasatan telah dimulakan mereka dengan memanggil pengadu-pengadu terlibat namun ada juga mangsa yang mengeluh mereka tidak dipanggil.

“Kita tidak ada pilihan, dengan siapa lagi kami mahu harapkan. Kita tidak ada kuasa menyiasat. Jadi tolong lakukan sesuatu.

“Kalau semua tiada kuasa menyiasat, jadi siapa yang ada kuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang mangsa pelaburan Fazlifah Awang, 48, menggesa agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera terhadap syarikat berkenaan.

“Kami telah membuat laporan polis pada Mac lalu dan ia telah dirujuk kepada SC dan SSM untuk tindakan lanjut kita sebagai mangsa tidak mengetahui mengapa kes kami dirujuk ke sana,” jelasnya.

Beliau yang merupakan seorang kontraktor juga berkata telah menghantar surat peguam kepada syarikat pelaburan berkenaan bagaimanapun syarikat berkenaan kerap bertukar peguam sehingga menyebabkan proses yang sama perlu dibuat berulang kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN