BALING: Beberapa mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, di sini terpaksa pulang ke rumah asal di tebing sungai berikutan bantuan bayaran sewa rumah didakwa dihentikan oleh kerajaan sejak Jun lalu.
Salah seorang mangsa, Mahmod Md. Rejab, 78, berkata, dia bersama isterinya, Halipah Ahmad, 71, serta anak lelakinya, Mohd. Arif, 28, terpaksa pulang ke rumah terbabit sejak dua bulan lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
“Selepas kejadian lebih setahun lalu saya sewa rumah penduduk berhampiran masjid sebanyak RM350 sebulan dan dibayar oleh kerajaan. Tetapi setelah dihentikan bantuan bayaran kami nekad balik ke rumah asal meskipun keadaannya agak usang dan mungkin bahaya jika air Sungai Iboi melimpah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, dia tiada pendapatan tetap untuk membayar sewa rumah terbabit dan bulan lalu anak-anaknya yang lain membantu membayarkan sewa bulanan, namun dia kini tidak mahu lagi membebankan mereka yang turut kesempitan dan hanya bekerja sendiri.
Mahmod mengakui mereka sekeluarga masih bimbang sekiranya hujan lebat kerana mengingati tragedi kepala air yang turut mengorbankan nyawa tiga penduduk kampung itu pada Julai tahun lalu.
“Masih ingat bagaimana saya tersangkut di atas pokok pinang setelah dibawa arus banjir ketika cuba balik ke rumah untuk selamatkan isteri yang seorang diri. Mujur dia cepat ke tingkat atas rumah dan memanjat alang apabila air sungai memenuhi segenap rumah kami.
“Jadi kami harap kerajaan segera siapkan rumah gantian di Kampung Bok Bak untuk mangsa banjir yang masih belum mempunyai rumah seperti yang dijanjikan sebelum ini agar kami dapat berlindung dan duduk dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.
Sementara itu, Ishak Saad, 56, pula berkata, dia juga sedang membersihkan rumahnya yang rosak dan kotor akibat kejadian itu bagi membolehkannya pulang ke rumah tersebut kerana tidak mampu bayar sewa rumah yang didiami kini.
“Saya berulang alik bersihkan rumah dan baiki kerosakan kerana saya dan keluarga akan berpindah semula ke sini, kami tidak mampu lagi membayar sewa bulanan sebanyak RM350.
“Saya hanya menoreh getah, seminggu dapat RM100 sahaja setelah dibahagi dengan pemilik kebun, keadaan sekarang hujan tidak tentu masa menyebabkan saya tidak dapat menoreh dan duit hasil torehan getah hanya boleh beli barang dapur sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, bantuan sewa rumah yang diberikan oleh kerajaan telah dihentikan Jun lalu menyebabkan mangsa terlibat terpaksa berpindah semula ke rumah asal meskipun tahu keadaannya masih berisiko.
“Kami kecewa dengan sikap lepas tangan sebegini yang tidak pedulikan nasib mangsa-mangsa banjir, sepatutnya mereka diberi bantuan dan dibayar sewa rumah sehingga mempunyai rumah baharu seperti dijanjikan sebelum ini.
“Malah, pembinaan 17 unit rumah lagi di Kampung Bok Bak juga masih jadi tanda tanya kerana belum dilakukan sebarang pembinaan. Saya harap kerajaan serta agensi berkaitan ambil sikap peduli dan terus bantu mangsa-mangsa ini, sekurang-kurangnya terus bayar sewa bulanan rumah mereka sehingga mempunyai rumah sendiri,” katanya.-UTUSAN