Malaysia sasar kedudukan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global - Utusan Malaysia

Malaysia sasar kedudukan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global

ANWAR Ibrahim bersama barisan Kabinet serta anggota Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) selepas mesyuarat majlis itu di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.

Katanya, sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.

“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan.

“Inisiatif ini menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MED4IRN pertama bagi 2023 di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.

“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan.

“Ia akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus mempertingkat program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.

“Pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN