PETALING JAYA : Seorang lelaki melarikan lori milik syarikat Gardenia yang diletakkan di tepi jalan berhadapan sebuah stesen minyak di Taman Puchong Utama, Puchong dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, lori berkenaan dilarikan lelaki tidak dikenali selepas pemandu lori berusia 34 tahun meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan enjin hidup dan hanya mengunci pintu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemandu lori itu kemudian masuk ke dalam stesen minyak untuk membuat transaksi wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Dia kemudian kembali semula kira-kira pukul 4.30 petang dan mendapati lori itu hilang dicuri dan menyebabkan kerugian anggaran RM40,000.
“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, didapati pada pukul 4.24 petang, suspek lelaki berpakaian baju sejuk hitam dan seluar panjang berwarna hitam serta memakai topi keledar warna kelabu melarikan lori itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek meninggalkan motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan Serdang.
“Kes diklasifikasikan sebagai curi kenderaan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup untuk mengelakkan kejadian sebegini berlaku,” katanya.
Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil memberikan kerjasama melalui Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Jefri Mohamad di talian 012-9854484. – UTUSAN