Lantikan JPKKP Perlis September atau Oktober - Utusan Malaysia

Lantikan JPKKP Perlis September atau Oktober

ROZABIL Abd Rahman (kiri) mengantung Jalur Gemilang pada salah sebuah kenderaan sewaktu Program Santuni Merdeka 2023 Parlimen Arau di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Arau, Kampung Che Ok, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi peringkat negeri ini dijangka pada September atau Oktober.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urusetia bagi JPKKP di negeri ini yang bakal dibentuk dengan secepat mungkin.

Katanya, Perlis bakal menjadi negeri pertama bagi membentuk JPKKP ini dan beliau sendiri akan cuba untuk percepatkannya mungkin pada September atau Oktober ini.

“Bagi pelantikan rasmi di keseluruhan negara pula, pelantikannya akan diumumkan pada bulan November depan kerana terdapat beberapa perkara berkaitan pentadbiran perlu diperbetulkan dahulu,” katanya ketika ditemui selepas Program Santuni Merdeka 2023 Parlimen Arau di Pejabat UMNO Bahagian Arau, Kampung Che Ok di sini hari ini.

Menerusi program itu, terdapat beberapa aktiviti dilaksanakan bersempena Hari Kebangsaan 2023 antaranya seperti pertandingan memasak, pertandingan karaoke lagu merdeka dan patriotik serta penyerahan bendera.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan mengenai persetujuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menjadikan Perlis sebagai negeri pertama memulakan pemilihan jawatan Pengerusi JPKKP.

Mengulas lanjut, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, UMNO telah mempunyai senarai nama calon-calon untuk dilantik bagi jawatan itu berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Katanya, pelantikan berkenaan akan dibuat bergantung kepada kawasan yang telah dipersetujui hasil perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Pelantikan ini tidak mempunyai kuota yang spesifik dan ia dipilih bukan hanya berdasarkan parti tapi melihat kepada tahap sokongan daripada penduduk di kampung tersebut.

“Ini kerana Pengerusi JPKKP ini akan memainkan peranan dalam menjaga dan membentuk segala aktiviti di peringkat kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, beliau juga tidak jelas dengan peranan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri sebelum ini memandangkan segala bentuk permohonan berkaitan kerajaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi JPKKP.

Tambahnya, pemilihan pengerusi JPKKP kali ini juga terdiri daripada campuran pelbagai pihak berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

“Pelantikan kali ini bukan seperti dulu malah kita buka ruang untuk pemuda, wanita dan mereka yang berkelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya