PETALING JAYA: Beberapa lagi akaun milik individu dan syarikat dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM50 juta berhubung siasatan pemberian rasuah oleh syarikat perjudian itu.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, nilai itu merupakan pembekuan aset terkini yang dilakukan SPRM hasil penahanan 14 individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri berhubung siasatan pemberian rasuah oleh syarikat perjudian itu.
“Akaun yang dibekukan adalah membabitkan pemilik syarikat, kelab atau persatuan yang menjadi operator mesin slot judi berkenaan.
“Siasatan SPRM masih berjalan bagi mengesan transaksi kewangan bagi menunjukkan aliran duit rasuah itu,” kata sumber itu.
Kata sumber, 50 saksi yang dipanggil SPRM sebelum ini terdiri daripada individu yang terlibat dalam pemberian kontrak di kementerian yang disiasat, syarikat operator, kelab dan persatuan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, lebih ramai saksi akan dipanggil SPRM bagi menyelesaikan skandal perjudian membabitkan rasuah termasuk kepada beberapa orang kenamaan.
Malah keterangan beberapa ahli politik termasuk individu berprofil tinggi dikatakan akan diambil SPRM berhubung siasatan berkenaan.
Lapor akhbar ini, SPRM juga dikatakan dalam tindakan untuk mengambil keterangan seorang saksi penting dalam kes berkenaan.
Fokus siasatan SPRM ketika ini adalah mengumpul maklumat secara terperinci bagi melengkapkan siasatan yang sedang mereka jalankan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM ketika ini juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada di luar negara sejak seminggu lalu bagi membantu siasatan sama.
Nama individu berkenaan mungkin didedahkan SPRM sekiranya mereka masih enggan tampil membantu siasatan.
Selain, SPRM akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan mereka.
Tindakan itu akan diambil SPRM memandangkan individu tersebut memberikan pelbagai alasan remeh iaitu perlu berada di luar negara kerana menghadiri mesyuarat bagi melengahkan siasatan.
Maklumat diperoleh, individu berkenaan dipercayai telah berada di negara jiran dan sebuah negara Eropah sejak seminggu lalu.
Mingguan Malaysia sebelum ini mendedahkan beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin politik dikesan SPRM telah menerima dana daripada beberapa syarikat perjudian untuk digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PRU15 dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.
Dana bernilai RM6 juta sehingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik berkenaan selepas syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.
Perkara tersebut terbongkar selepas 13 individu termasuk seorang Tan Sri ditahan SPRM menerusi operasi khas pada Rabu lalu.
Kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 79 tahun dan mereka membabitkan pemilik syarikat pembekal mesin slot judi.
Siasatan SPRM mendapati, selain dana bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP dan pemimpin politik berkenaan seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.
SPRM juga tidak menolak kemungkinan terdapat bayaran tertentu turut dibuat syarikat-syarikat tersebut kepada pihak berkuasa di negara ini secara bulanan agar operasi judi yang dijalankan lancar dan tidak diganggu. – UTUSAN










