Kurma daging Perlis di Los Angeles - Utusan Malaysia

Kurma daging Perlis di Los Angeles

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan promosi makanan Perlis di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro di Tustin, California, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masakan kurma Perlis menjadi menu istimewa yang akan disajikan sempena sambutan hari kebangsaan dan sambutan hari Malaysia dari 31 Ogos sehingga 16 September ini di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Sajian istimewa tersebut disediakan oleh Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro yang terletak tidak jauh dari Disneyland, Anaheim.

Pemilik restoran berkenaan, Kean P. Tan,64, berkata, menu yang dipilih iaitu kurma daging Perlis itu merupakan satu tarikan bagi pengunjung tempatan di Los Angeles untuk merasa masakan dari negeri tersebut.

Katanya, ia juga sebagai promosi sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

“Selain itu, bagi menambat citarasa rakyat Malaysia yang bermastautin di AS untuk menghayati semangat hari kebangsaan dan Malaysia melalui juadah enak tersebut.

“Ia juga dapat mengimbau tanah air tersayang dengan penuh patriotisme walau bermastautin di tempat yang jauh,” katanya sempena pelancaran promosi makanan Perlis di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro di Tustin, California, baru-baru ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berangkat sama, anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan; Konsul, Azman Roslee Anuar; Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia dan Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd., Datuk Nellsen Young.

Sebelum itu, keberangkatan baginda berdua disambut oleh Kean dan isterinya, Bee Tan.

Promosi Makanan Perlis kali ini merupakan inisiatif secara kolaborasi oleh restoran yang popular dalam kalangan warga Malaysia di negara tersebut bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Tourism Malaysia Los Angeles, MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd.

Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro itu dibuka oleh pasangan itu sejak tahun 2004.

Tambah Kean, dia terpanggil untuk menjayakan kempen ini kerana teruja dengan limpah perkenan baginda berdua berangkat untuk menikmati santapan di restorannya itu.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia di luar negara akan sentiasa bersama-sama menghayati semangat cintakan negara.

“Tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada masa yang sama sentiasa mengekalkan prinsip jiwa patriotik,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya