Kontroversi murahan? Saya bukan orang macam itu - Nabil Aqil - Utusan Malaysia

Kontroversi murahan? Saya bukan orang macam itu – Nabil Aqil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN pelakon Ku Punya Hati ini mengundang pelbagai kecaman dan kontroversi.

Mana tidaknya, keberaniannya meluahkan kemahuan membawakan watak lelaki lembut mencuri perhatian ramai.

Lantaran kenyataan tersebut, pelakon, Nabil Aqil sendiri mengakui menerima pelbagai gangguan seksual daripada golongan tersebut.

Malah, tidak semena-mena dia juga dikaitkan mempunyai nafsu songsang. Namun ada yang beranggapan dia sengaja mencipta kontroversi murahan dengan kenyataan sebegitu.

Sementelah, ketika namanya sedang mendaki populariti, ada yang mendakwa ini cara mudah untuk dia menuai kecaman dan publisiti.

Benarkah Nabil sedesak itu untuk memancing populariti? Mengapa segamak itu dia mencipta publisiti? Nabil, Jawablah!

Kenyataan nabil baru-baru ini (berkaitan watak sejenis) menimbulkan kontroversi. Walaupun demi memenuhi tuntutan atau komitmen, tapi ada yang meluahkan rasa kecewa bila Nabil berani mengeluarkan kenyataan itu?

Janganlah kecewa. Bagi saya, setiap pelakon ada impian dan watak idaman sendiri, Tanyalah mana-mana pelakon, pasti dalam fikiran mereka ada karakter yang mereka tahu dan yakin boleh bawa.

Tetapi sebenarnya ketika ditanya, saya ada letak tiga watak idaman. Salah satunya adalah watak lelaki lembut. Tak sangka pula, kenyataan itu mengundang salah faham sehingga saya turut menerima gangguan.

Tapi ada yang cakap Nabil saja mengeluarkan statement tersebut semata-mata mahukan publisiti, sanggup buat onar demi perhatian. Komen?

Tak pernah sekali pun terlintas untuk sengaja buat kontroversi. Saya bukan orang begitu. Saya ini sosial media pun malas nak uruskan. Nak ambil gambar pun malas. Memang bab publisiti ini zero.

Tak ada niat pun nak dapat perhatian sebegitu. Rasa tak seronok pula bila perhatian itu datang daripada isu-isu sebegitu. Lebih baik saya berlakon betul-betul dan menerima pujian berdasarkan bakat. Saya biasa sahaja, datang set bekerja dan balik. Tak pandai nak bersosial, nak pancing perhatian semua.

Dalam konteks seni pula, Nabil dilihat berani untuk mencuba sesuatu yang mungkin mengundang kecaman namun sebenarnya, menguji kredibiliti sebagai pelakon. Adakah itu jalur seni Nabil sebenarnya?

Ya, saya hendak cabar kredibiliti diri sendiri. Sebagai pelakon, saya perlu berani mencuba sesuatu di luar zon selesa. Ramai sahaja pelakon lelaki yang pernah membawakan watak lelaki lembut.

Tapi saya tahu, ada watak-watak yang saya tahu mampu bawa. Ada juga watak yang saya tak berani untuk bawa macam karakter cacat. Mungkin bukan sekarang. Bila sudah ada ilmu, baru saya berani.

Selepas mengeluarkan kenyataan itu, ada tak produser atau pengarah yang meluahkan minat untuk menawarkan watak sebegitu?

Setakat ini kehidupan saya berjalan seperti biasa sahaja. Tiada yang berubah, dari segi karier atau peribadi. Cuma biasalah, ada gangguan dan pesanan-pesanan menakutkan dari warganet, tetapi itu bukan sesuatu yang perlu diambil serius lagi.

Alang-alang, boleh kongsikan perkembangan terbaharu Nabil? Drama atau filem baharu?

Buat masa sekarang, saya sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 13 episod baharu, Hot Fellas yang akan ditayangkan di TV3. Selepas ini, saya akan masuk set penggambaran drama bersiri Kau vs Aku musim kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya