KUALA LUMPUR: “Untuk pengetahuan anda, mana-mana kempen sebuah produk menjalani penggambaran lebih awal. Jadi tidak kira situasi macam mana pun, jika klien hendak tarikh siaran tertentu, mereka wajib tayang.”
Demikian pandangan seorang pengguna media sosial di ruangan komen selepas pelakon, Syafiq Kyle memuat naik video kempen sebuah produk berasaskan coklat dalam Instagram, petang semalam.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi peminat selepas hampir seminggu Syafiq Kyle dan Mimi Lana mengunci mulut berhubung pembatalan majlis perkahwinan mereka.
Majlis pernikahan dan resepsi pasangan itu sepatutnya berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, hari ini.
Rata-rata peminat pasangan itu memahami Syafiq terpaksa memuat naik video tersebut atas komitmen kerja yang sudah dipersetujui lebih awal.
“Tidak mengapa, saya faham awak terpaksa muat naik atas urusan kerja,” komen seorang pelayar internet.
Hasil tinjauan di Instagram Mimi, tiada sebarang video bersama Syafiq yang dimuat naik. Sebaliknya, hanya gambar makan di sebuah restoran yang dimuat naik oleh Mimi.
Terdahulu, berita pembatalan majlis pernikahan pasangan itu disahkan oleh pengurus Mimi, Iman Tang yang turut memaklumkan segala persiapan seperti tempahan dewan dan katering sudah dibayar.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 21 Januari lalu.
Usaha mendapatkan Syafiq atau Mimi gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab serta pasangan itu tidak menjelaskan punca sebenar pembatalan pernikahan mereka sehingga sekarang.