PETALING JAYA: Tindakan Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Afiq Amani Annuar keluar daripada parti itu tidak memberi kesan besar kepada kepemimpinan UMNO sebaliknya dianggap sebagai lumrah dalam politik.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bagaimanapun mengakui dukacita terhadap tindakan pihak-pihak yang meninggalkan parti di saat UMNO diuji hebat.
Katanya, kekuatan sebagai pemimpin dan pendukung parti adalah untuk kekal berada dalam barisan perjuangan tatkala ia diuji hebat, bukan lari meninggalkannya pada saat dalam serba kepayahan, tetapi kekal bersama hanya ketika manis dan senang.
“Kami di Pemuda UMNO terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuh UMNO. Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan UMNO tetap diteruskan.
“Tindakan keluar parti tidak sesekali akan merencatkan semangat rakan-rakan Pemuda yang lain yang masih setia, bersusah payah dan akan terus mengangkat perjuangan ini walau dalam keadaan yang susah mahupun senang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada segala jasa dan khidmat bakti buat ahli yang bersama-sama UMNO selama ini.
“Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda UMNO, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik, tetapi perjuangan Pemuda di dalam UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Susulan tindakan Afiq Amani dan Ahmad Syauqi Mazlan selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh yang juga telah mengumumkan keluar dari parti, Pemuda UMNO Bahagian Ketereh akan dipangku oleh Azhan Ishak selaku Naib Pemuda UMNO Ketereh. – UTUSAN