Kerjasama RAC-IDP Industrial Development bina stesen kereta api Segambut 2

Kerjasama RAC-IDP Industrial Development bina stesen kereta api Segambut 2

ANTHONY Loke menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama RAC-IDP Industrial Development bagi pembinaan stesen kereta api Segambut 2.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan iaitu Perbadanan Aset Keretapi (RAC) memeterai perjanjian dengan pemain industri hartanah, IDP Industrial Development Sdn. Bhd. bagi pembinaan stesen kereta api Segambut 2.

Dengan pemeteraian perjanjian itu, kerajaan melalui RAC akan menerima pulangan iaitu bangunan stesen kereta api baharu bernilai RM34.1 juta dan RM3.5 juta secara sekali bagi menampung caj penyelenggaraan dan caj-caj lain yang berkaitan.

RAC dan IDP Industrial Development dalam kenyataan bersama berkata, stesen kereta api itu dijadualkan siap pada November 2025 selain diyakini memberi peluang kepada penghuni dan kawasan berhampiran memilih rel sebagai mod pengangkutan utama.

Katanya, stesen kereta api baharu berkeluasan 3.397 ekar (1.35 hektar) itu akan dihubung dengan jejantas pejalan kaki, berbanding stesen kereta api Segambut sedia ada yang terletak 1.25 kilometer (km) lebih jauh.

“Dengan pemilikan aset ini, RAC dapat menjana pendapatan berterusan untuk jangka masa panjang melalui aktiviti komersial yang dijalankan di dalam sistem kereta api tersebut.

“Pembinaan stesen kereta api baharu ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan sekitar dan Segambut secara amnya kepada kawasan yang berdensiti tinggi.

“Dengan penggunaan rel sebagai mod pengangkutan di kawasan tersebut, ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya serta menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan mereka yang mahu tinggal atau bekerja hampir di tengah pusat bandar,” katanya hari ini.

Terdahulu, RAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Azhar Ahmad menandatangani perjanjian dengan Pengarah IDP Industrial Development, Kong Pak Lim, di sini hari ini.

IDP Industrial Development merupakan anak syarikat Kumpulan UOA.

Majlis itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Segambut yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kenyataan itu berkata, stesen kereta api berkonsepkan moden itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk lebih 100 tempat letak kereta, unit ruang perniagaan, ruang legar, laluan pejalan kaki, kemudahan hentian bas, teksi dan kawasan turun dan naik penumpang.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, RAC turut menawarkan 10 tapak tanah kereta api yang berpotensi tinggi dengan keluasan keseluruhan berjumlah 369.452 ekar (147.7 hektar) untuk dibangunkan.

Tawaran itu diberi sempena penganjuran Pameran Hartanah RAC 2023 di sini hari ini dan berjaya mengumpul hampir 40 pemaju dan pemain industri hartanah terkemuka.

Katanya, kesemua tapak kereta api itu terletak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripada 10 tapak itu berada di dalam jajaran kereta api yang tersedia.

Sementara itu, Siew Fook dalam ucapan menyarankan supaya pihak pemaju dapat memberi perhatian kepada keperluan mewujudkan perumahan mampu milik terutama di kawasan berhampiran dengan hab pengangkutan berasaskan rel dalam usaha kerajaan meningkatkan aksesibiliti kepada rakyat.

“Langkah ini bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri, pada masa sama, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan menggalak pengangkutan awam.

“Ini boleh direalisasi secara Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang terbukti berjaya membantu kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih baik dan cepat.

“Contohnya, melalui RAC pembinaan stesen kereta api Kajang 2, stesen Abdullah Hukum, Penang Sentral dan lain-lain projek pengangkutan seperti KL Sentral, jaringan sistem pengangkutan LRT, pembinaan lebuh raya dan stesen bas berpusat,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya