Kerap dihina dipercayai jadi punca anak bunuh bapa guna penyodok pasir   - Utusan Malaysia

Kerap dihina dipercayai jadi punca anak bunuh bapa guna penyodok pasir  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerap dimarahi dan dihina menjadi punca seorang anak berang sehingga sanggup membunuh bapanya sendiri sebelum mayatnya kemudian dicampak di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Jalan PJS 10/24, di sini pada Sabtu lalu.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, selepas berlaku pertengkaran membabitkan dua beranak itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata, suspek dan mangsa dipercayai kerap bertengkar selepas suspek sudah dua tahun tidak bekerja dan kerap menghabiskan wang untuk membeli minuman keras.

“Akibat pertengkaran itu, telah menyebabkan suspek memukul kepala serta tubuh bapanya beberapa kali dengan penyodok pasir.

“Mayat bapanya kemudian dibalut dengan langsir dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta sebelum mayat bapanya dicampak di tepi jalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, kehilangan mangsa telah disedari saudara mangsa yang mendapati warga emas itu tiada di rumah.

Kata beliau, saudaranya itu kemudian cuba mencarinya sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terbaring di tepi Jalan PJS10/24, iaitu dua kilometer dari rumah mangsa, pukul 2.15 pagi pada hari sama.

“Satu laporan dibuat oleh saudaranya sebelum lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 9.15 pagi pada hari sama di kawasan perumahan di Jalan PJS 10/9A di sini.

“Kita juga telah ke rumah mangsa dan merampas satu penyodok pasir yang dipercayai digunakan suspek memukul bapanya.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang digunakan suspek,” jelasnya.

Tambah Mohamad Fakhrudin, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes jenayah berkaitan kes pecah amanah dan memiliki senjata berbahaya.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun negatif dan suspek kini direman tujuh hari hingga 2 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN