Kerajaan negeri longgar syarat jualan produk di Arked Pekan Sehari Wang Kelian - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri longgar syarat jualan produk di Arked Pekan Sehari Wang Kelian

ARKED Pekan Sehari Wang Kelian akan beroperasi dalam masa terdekat sebagai persediaan bagi sambutan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 pada tahun hadapan. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan melonggarkan syarat jualan produk barangan di Arked Pekan Sehari Wang Kelian bagi memastikan peniaga di tapak itu tidak terlalu terikat dengan polisi berkenaan.

Bagaimanapun, gerai-gerai di arked itu perlu diuruskan oleh peniaga tempatan walaupun mereka memilih untuk memasarkan produk-produk dari Thailand.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini yang menggalakkan peniaga memasarkan produk-produk tempatan telah menyebabkan ramai di antara mereka menarik diri daripada beroperasi di arked tersebut.

“Polisi sebelum ini di mana peniaga mesti memasarkan barangan tempatan menyebabkan ramai di antara mereka menarik diri daripada beroperasi.

“Setakat ini sambutan daripada pengusaha gerai tidak begitu ramai di mana 33 daripada 38 peniaga telah menarik diri dan kini tinggal lima peniaga sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Arked Wang Kelian sebelum ini ditutup setelah kerajaan mengumumkan pemansuhan Zon Aliran Bebas pada April 2015 susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu.

Penutupan itu adalah sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk sempadan dalam mengekang kegiatan penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan kerajaan negeri menjangkakan lebih ramai peniaga akan masuk kembali untuk berniaga di kawasan itu selepas ini.

“Arked ini akan beroperasi dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada persediaan bagi sambutan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 tahun hadapan,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, kerajaan negeri masih berusaha bagi pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian dalam menarik pengunjung luar ke negeri ini.

“Kita tengah mohon dengan kerajaan Persekutuan berhubung kawasan zon aliran bebas ini untuk dipertimbangkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya