Kerajaan kaji naik elaun sara hidup nelayan

Kerajaan kaji naik elaun sara hidup nelayan

MOHAMAD Sabu (tengah) bergambar beramai-ramai ketika Majlis Mesra Madani Bersama Nelayan di Kompleks LKIM Kedah di Kuala Kedah. -UTUSAN/ JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan memberi jaminan untuk mengkaji kenaikan elaun sara hidup nelayan (ESHN) mengikut kemampuan kewangan negara pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan itu belum dapat dilaksanakan ketika ini memandangkan kemampuan kerajaan yang masih terhad kerana pemulihan ekonomi negara masih berlaku.

“Ia (kenaikan elaun) bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Kalau negara kita ekonomi mulai pulih dan apabila berlaku pendapatan (negara) bertambah insya-Allah tuntutan nelayan ini akan ditunaikan.

“Kewangan kerajaan masih lagi terhad kerana pemulihan ekonomi masih sedang berlaku, namun kita juga sedang mencari jalan terbaik bagaimana nak ringankan beban rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Mesra Madani Bersama Nelayan di sini hari ini.

Pemberian ESHN kepada nelayan ketika ini sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan laut dan RM250 kepada nelayan darat.

Mengulas lanjut kata Mohamad, ekonomi negara yang semakin pulih ketika ini terutama selepas pandemik Covid-19 turut memerlukan kestabilan politik.

“Kewangan sedang pulih, jadi antaranya kestabilan (politik) juga penting (kerana) kalau mereka main isu nak tukar kerajaan pelabur teragak-agak nak datang,” katanya.

Beliau menambah, sehingga ini kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meneruskan bantuan elaun berkenaan kepada 38,000 nelayan di seluruh negara dengan peruntukan RM136.8 juta.

“Kerajaan juga masih meneruskan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan sebanyak 70 juta liter sebulan dengan kadar ditetapkan, RM1.65 liter yang memanfaatkan 2,144 nelayan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian sedang mengkaji cadangan untuk pemberian subsidi padi mengikut hasil pengeluaran padi.

“Ada pihak mencadangkan supaya subsidi diberikan kepada output hasil padi. Ia masih di peringkat kajian buat masa ini berdasarkan purata nilai tan padi sawah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya