PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri menyerlahkan kegagalan landskap politik baharu dan kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) apabila cuma memenangi 40 peratus kerusi ditandingi.
Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pihaknya menyokong desakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana gabungan PH-BN gagal dan sudah tidak lagi relevan dalam politik negara serta ditolak secara besar-besaran orang Melayu dan bukan Melayu.
Katanya, gabungan dua parti itu yang didakwa sebagai langkah menstabilkan politik dan membentuk landskap politik baharu di negara ini ternyata satu liabiliti sekali gus diibaratkan senjata makan tuan apabila rata-rata pengundi Melayu mahupun penyokong PH-BN berpaling memangkah calon PN.
“Akibatnya, jumlah undi dan kerusi yang diperoleh calon PH-BN merosot secara drastik berbanding pencapaian calonnya di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.
“Apabila pengundi tidak memberi undi kepada calon PH-BN, ini menunjukkan landskap politik baharu mahupun pelan pembangunan ekonomi Kerajaan Madani diterajui Anwar dan Zahid gagal memberi impak atau harapan kepada rakyat.
“Ini kerana rakyat melihat inisiatif itu kabur dalam menggariskan kaedah ekonomi rakyat dan ekonomi negara akan diurus seterusnya dipacu serta dipulihkan semula menerusi set strategi, model mahupun formula yang boleh melegakan mereka sekali gus menyakinkan pelabur selepas negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan PRN menyaksikan BN yang mengetengahkan calon UMNO kalah di semua kerusi yang ditandingi di Kedah dan Terengganu manakala hanya menang di dua kawasan masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, Kelantan (satu) dan Negeri Sembilan (14).
Berbanding PN, gabungan politik yang terdiri daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berjaya menguasai 146 kerusi daripada 245 kawasan ditandingi di samping terus mengekalkan kemenangan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan majoriti besar.
Kata Mohd. Solihan, peningkatan sokongan terhadap calon PN sehingga menguasai 60 peratus kerusi ditandingi pada PRN berbanding PRU14 adalah bukti dasar dan ketegasan PN mendokong landskap baharu politik dan integriti dalam tadbir urus kerajaan serta keutamaan untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara, telah diterima baik seluruh rakyat.
“Justeru, isyarat sokongan pengundi kepada PN dan penolakan terhadap kerajaan PH-BN adalah sangat jelas menerusi gelombang Referendum Rakyat melanda sejak PRU15 sehingga kepada PRN.
“Untuk itu, PN Johor menyokong desakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Anwar dan Zahid meletakkan jawatan kerana kerajaan baharu gabungan PH-BN gagal malah sudah tidak lagi relevan dalam politik negara serta ditolak secara besar-besaran oleh orang Melayu serta bukan Melayu,” katanya.-UTUSAN