PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di enam negeri baru-baru ini telah diwartakan semalam.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, negeri-negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, pewartaan itu termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
“Pewartaan ini selaras dengan kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan PRN di enam negeri berkenaan mengekalkan kedudukan status quo dengan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Perikatan Nasional (PN) pula terus menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Calon PN, Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya mempertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 47,266 undi dalam PRK baru-baru ini.
Ahmad Amzad mencatat kemenangan buat kali ketiga dengan majoriti jauh lebih besar berbanding kemenangan kali pertama di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kemenangan kedua pada PRU15 tahun lalu.
Bagaimanapun, PRK Kuala Terengganu terpaksa diadakan semula selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.