MELAKA: Kerajaan akan memperincikan kenaikan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perincian tersebut turut melibatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen.
Kata beliau, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu baru-baru ini, beberapa mesyuarat di peringkat tertinggi telah dan akan diadakan.
“Ia bagi membincangkan mengenai kenaikan gaji dan faedah-faedah lain penjawat awam. Perdana Menteri amat prihatin kepada penjawat awam termasuklah bekas tentera.
“Kenaikan gaji (penjawat awam) telah lama dipohon. Ada cerita kenaikan gaji tahunan tetapi hanya dapat RM100 sahaja oleh Perdana Menteri sebelum ini.
“Jadi ini antara perkara yang dibincangkan tetapi masih belum ada sebarang keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi dialog Program Jelajah Timbalan Menteri Kewangan I di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Anwar mengumumkan kerajaan akan menaikkan gaji penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu, selain bersetuju memanjangkan BSH sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen pada usia 60 tahun berbanding sebelum ini hanya dinikmati pada usia 80 tahun.
Justeru, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menunaikan janji berkenaan walaupun keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN










