Kena percaya pasangan kita - Marion Counter - Utusan Malaysia

Kena percaya pasangan kita – Marion Counter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pengacara, Marion Counter, 43, mengakui kepercayaan antara dia dan suaminya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, 40, menjadi asbab kepada keutuhan perkahwinan mereka yang kini berusia 13 tahun.

Kata Marion, perkara itu perlu disemai agar perkahwinan dan hubungan suami isteri dapat bertahan.

“Penting untuk kita percaya kepada pasangan kita. Kesibukan kerja membuatkan saya sering ke sana sini tanpa ditemani suami. Begitu juga dengan dia, yang sibuk dan tidak selalu ditemani saya.

“Saya tak mungkin dapat tidur malam dengan tenang kalau saya tak percayakan suami sendiri. Ada rakan saya yang hidup mereka tak tenang kerana asyik risau apabila berjauhan dengan suami.

“Saya tak boleh hidup begitu. Saya perlu tahu, dia okey ketika saya tak berada di sisinya. Jadi, saling percaya antara suami isteri memang penting,” katanya.

Marion berkata demikian selepas sesi perkongsian produk kecantikan dan penjagaan rambut Mare By Marion Counter di KLCC, baru-baru ini.

Kata Marion lagi, dia menganggap SM Nasarudin bukan sahaja suami, malah sahabat baik yang sering dibawa berbincang dan berkongsi soal rumah tangga dan kehidupan harian.

“Kami membesar sama-sama, lalui pelbagai cabaran dan kesukaran. Pejam celik, sudah 13 tahun kami bergelar suami isteri.

“Komunikasi antara pasangan berkahwin juga sama pentingnya dengan kepercayaan. Kita kena kongsi dan saling meluahkan masalah atau perasaan dengan pasangan kita.

“Suami bukan sahaja teman hidup tetapi juga sahabat baik kepada saya. Jadi saya akan pastikan kami selalu berbincang dan berborak tentang apa sahaja yang kami lalui setiap hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN