PENDANG: Hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan tetap perlu dijaga walaupun mana-mana negeri dikuasai oleh parti yang tidak sealiran antara satu sama lain.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemimpin di negeri pembangkang sepatutnya bersikap ‘lembut gigi daripada lidah’ bagi menjaga hubungan berkenaan demi kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kesan buruk akan ditanggung oleh rakyat di sesebuah negeri khususnya untuk mendapatkan peruntukan bagi projek kerajaan negeri sekiranya bersikap sebaliknya.
“Kalau kita tidak selari sepatutnya kita tidak berkelahi dengan Kerajaan Persekutuan, kita tetap perlu jaga hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan dan kalau Menteri Besar asyik hentam kerajaan dalam masa yang sama nak minta pertolongan, saya fikir tidak semudah itu akan dipertimbang sebab kita sebagai manusia mempunyai perasaan.
“Biasanya kalau kita nak minta sesuatu daripada orang kena lembut gigi daripada lidah, ini keras lidah daripada gigi tetapi bagaimana keadaan sekali pun Kerajaan Persekutuan tetap beri peruntukan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan contohya ‘capitation grant’ atau geran mengikut bilangan penduduk,” katanya ketika ditemui selepas membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Sungai Tiang, Mohamad Fadzil Zolkipli, di sini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rakyat perlu memberi undi kepada pihak yang mampu membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan boleh berkata tidak kepada sesiapa saja termasuk Perdana Menteri, sekiranya keputusan dibuat tidak menguntungkan Kedah.
Menurut Wan Rosdy, adalah sesuatu yang pelik sekiranya pemimpin kerajaan negeri bersikap menghentam dan mengutuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian meminta sesuatu daripadanya.
“(Kalau) saya berasa malu, kita nak minta pertolongan orang, kita balun orang sepatutnya kita buat baik, kita bagi tau alasan-alasan kenapa kita perlu bantuan, kita bagi tau ini pilihan rakyat di negeri ini.
“Tapi (andai) tak selari dengan Kerajaan Pusat tak boleh buat apa (bagaimanapun) bantuan untuk pembangunan dan rakyat perlu dipertimbangkan bukan untuk saya (Menteri Besar) untuk rakyat, sepatutnya macam itu,” katanya.
Katanya, sebagai Menteri Besar, beliau sama sekali tidak akan bersifat seperti apa yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kedah ketika ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi bijak membuat pilihan sama ada mahu mengekalkan kerajaan negeri kepada pembangkang atau memilih untuk bersama-sama dengan kerajaan Pusat selepas pilihan raya negeri (PRN), esok.
Katanya, banyak faedah kepada rakyat Kedah diperoleh sekiranya memberi kemenangan kepada kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar termasuk lebih banyak limpahan ekonomi akan sampai ke negeri berkenaan dan dirasai oleh penduduknya. –UTUSAN