WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak tawaran Presiden Russia, Vladimir Putin untuk menjadi orang tengah dalam konflik antara Iran dan Israel dengan menyatakan bahawa Putin sepatutnya menyelesaikan dahulu perang di Ukraine.
“Saya bercakap dengannya semalam, dia (Putin) tawarkan diri untuk jadi orang tengah. Saya membalas memintanya buat sesuatu untuk diri sendiri dahulu, jadi orang tengah untuk perangnya sendiri,” kata Trump kepada wartawan semasa melancarkan tiang bendera gergasi baharu di White House.
“Biar kita selesaikan Russia dulu, okay? Saya berkata, Putin, kita selesaikan isu Russia dulu, yang lain boleh tunggu,” tambah beliau.
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menafikan waktu panggilan seperti yang didakwa Trump.
“Dia (Trump) bercakap secara kiasan. Dunia sekarang terlalu sibuk dan beberapa hari lalu pun sudah terasa seperti semalam,” kata Peskov kepada agensi berita rasmi Russia, TASS.
Kedua-dua pihak sebelum ini mengesahkan perbualan telefon antara Trump dan Putin berlaku pada Sabtu lalu, dengan Trump mengatakan Putin telah menghubunginya untuk mengucapkan selamat hari lahir yang ke-79.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut menyatakan bahawa perubahan dalam kerajaan Iran ‘mungkin berlaku’ dan membayangkan kemungkinan rundingan akan diadakan tidak lama lagi tanpa memberikan butiran lanjut.
“Mereka (Iran) mahu bertemu dan datang ke White House, saya mungkin akan terima,” katanya kepada media.
Pada masa sama, Trump menegaskan bahawa rundingan damai untuk menamatkan perang Ukraine akan berjaya walaupun Russia dilaporkan mempertingkatkan serangan di medan perang.
Trump sebelum ini berjanji akan menamatkan konflik Ukraine dalam tempoh 24 jam sejurus memegang jawatan presiden dan dilihat mengambil pendekatan lebih mesra terhadap Putin. Namun setakat ini, rundingan tersebut masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
Beliau turut menggelar perang Ukraine yang tercetus selepas Russia menyerang negara jirannya yang pro-Barat pada 2022 sebagai ‘amat bodoh’.









