Jika berbalah sampai ke media sosial, makin tipis peluang berbaik - Utusan Malaysia

Jika berbalah sampai ke media sosial, makin tipis peluang berbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan model Dynas Mokhtar, 40, meluahkan rasa sedih melihat persahabatan rakan artis yang renggang sehingga membawa kepada perbalahan di media sosial. 

Menurutnya, media sosial bukan jalan untuk memperbaiki hubungan yang keruh sebaliknya akan mencetuskan lebih banyak spekulasi dan pergaduhan sehingga membuatkan peluang untuk berbaik semakin tipis.

“Saya sedih melihat persahabatan seperti mereka menjadi renggang. Media sosial akan mengeruhkan lagi keadaan. 

“Pihak yang kedua mungkin tak berniat cakap sebegitu, pihak yang satu lagi ingatkan kata-kata itu untuk mereka. Bila sesuatu perkara berlegar dari mulut orang lain, ia sangat bahaya kerana mereka mula mencipta spekulasi sendiri. 

“Jika ada yang suka melagakan, lagi sukar berbaik. Kami semua mendoakan agar persahabatan mereka menjadi seperti sedia kala walaupun dalam keadaan hari ini, ia memerlukan keajaiban,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, bermasam muka sesama rakan artis turut akan mencipta suasana tidak selesa apalagi industri hiburan di Malaysia tidaklah sebesar mana. 

“Industri kita kecil sahaja. Dalam mana-mana acara, kita memang akan jumpa wajah yang sama sahaja. Bila jadi begini ia menimbulkan perasaan tidak seronok. 

“Jika ada acara, penganjur kena pilih nak jemput pihak yang mana satu. Kita jadi berbelah hati,” tambahnya. 

Dynas bersyukur kerana sepanjang 14 tahun bersama-sama dengan rakan artis terdekatnya yang digelar ‘Selebpets’, mereka cuba untuk menyelesaikan salah faham sendirian tanpa membawa ke pengetahuan umum. 

Geng Selebpets atau kadangkala dipanggil Selepets mempunyai tujuh orang ahli iaitu Dynas, Serena C, Daphne Iking, Yasmin Hani, Atilia Harun, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair mengambil pendekatan bersemuka jika berlaku salah faham.

“Dalam adik-beradik pun ada kecil hati. Bermasam muka inikan pula bersahabat. 

“Dalam Selebpets, kami sentiasa bercakap antara satu sama lain setiap hari dari sekecil-kecil perkara kepada serius mungkin. Jika sesiapa ada masalah, memang kita akan kongsi dan bantu. 

“Tipulah jika tidak berlaku perselisihan faham sepanjang 14 tahun ini. Namun kami memang akan jumpa dan cakap mengenainya,” tambahnya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Sharifah Sakinah dan Nabila Huda memberi gambaran hubungan persahabatannya dengan Nad Zainal sudah tidak akrab dan saling bermasam muka. 

Nad bagaimanapun hanya memberi respons mahu memberi fokus kepada suami dan anak tanpa memikirkan sesiapa yang hilang dari ‘radar’ pelakon itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN