BENTONG: Jenazah Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Idris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, di Benus tepat pukul 3 petang tadi.
Allahyarham merupakan pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu sekitar pukul 2.30 petang.
Jenazah sebelum itu tiba di pekarangan Masjid Tengku Sulaiman Ketari sekitar pukul 2 petang tadi untuk disolatkan dan kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dengan menaiki van jenazah diiringi kereta peronda polis.
Dianggarkan lebih 500 orang termasuk saudara-mara dan masyarakat setempat hadir ke pengebumian berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak masing-masing berusia tiga bulan, 10 tahun serta 14 tahun.
Allahyarham adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa.
Namun Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Johari.
Pada Khamis lalu, nahas pesawat persendirian jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam mengorbankan 10 nyawa.
Insiden berkenaan melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing ialah penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Pesawat tersebut yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu dilaporkan mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat. – UTUSAN










