BENTONG: Jenazah Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1, kira-kira pukul 1.50 petang di sini, hari ini.
Jenazah bekas pegawai di Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu disemadikan selepas selesai solat jenazah kedua di rumah ibu bapanya.
Lebih 200 waris, kenalan dan warga Felda Mempaga 1 hadir di tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. Turut hadir Exco Pahang, Datuk Muhammad Nizar Najib.
Penantian waris dan ahli keluarga nahas pesawat Beechcraft Model 390 bagi penyerahan jenazah berakhir apabila kesemua baki sembilan mayat diserahkan pada hari ini.
Lapan mangsa lain selain Khairil Azwan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, 53; Muhammad Taufik Mohd. Zaki, 37: Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41, serta juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim, 45.
Seorang lagi adalah pemandu aplikasi E-hailing, Sharipudin Shaari, 51.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan baki sembilan jenazah mangsa terlibat nahas pesawat terhempas boleh dituntut di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bermula pukul 9 pagi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seramai lapan individu termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang terbunuh selepas pesawat ringan yang mereka naiki terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuhraya Guthrie turut maut. – UTUSAN










