Jawatankuasa ad-hoc selamatkan Pafa teliti tiga isu - Utusan Malaysia

Jawatankuasa ad-hoc selamatkan Pafa teliti tiga isu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa ad-hoc yang ditubuhkan bagi menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan meneliti tiga isu sebelum menetapkan Kongres persatuan itu.

Tiga isu itu ialah kelayakan ahli gabungan untuk ke Kongres yang akan diadakan sama ada 17 atau empat orang dan rayuan kes mahkamah terhadap persatuan itu .

Jawatankuasa ad-hoc itu dilantik di bawah kuasa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada awal Jun lalu.

Pengerusi jawatankuasa adhoc itu, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, semua ahli gabungan telah dipanggil semalam dan mereka yang hadir memberikan pandangan serta pendapat mengenai isu tersebut. .

Menurutnya, beliau merumuskan tiga perkara tersebut akan diberikan tumpuan untuk dilaporkan kepada menteri dan PJS.

“Kita tidak mahu nanti berlaku rasa tidak puas hati dan perkara berbangkit selain kita tidak mahu membuat keputusan yang tidak adil.

“Kita juga turut mendapat nasihat daripada pegawai undang-undang PJS dan kita akan buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Pafa digantung selama enam bulan oleh PJS, berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak Perak itu pada 7 Mac tahun lalu.

Ini berikutan wujud dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah dalam badan induk itu.

Pafa, yang sebelum ini bakal dibubarkan diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut Abdul Puhat, jawatankuasa itu juga akan menilai semula dan mengambil kira laporan dan dapatan terdahulu dengan menyuntik perspektif baharu yang bersesuaian dengan keadaan semasa demi memastikan Pafa dapat beroperasi seperti biasa kelak.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertindak sebagai kata pemutus kerana secara umumnya tidak ada sesiapa yang menerajui Pafa ketika ini namun ia tertakluk kepada kerjasama kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Pafa telah dibatalkan namun di bawah Akta 576 Akta Pembangunan Sukan 1997, menteri mempunyai kuasa di bawah Subseksyen 21 (1) menubuhkan jawatankuasa ad-hoc untuk selesaikan kemelut Pafa bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya.

Jawatankuasa ad-hoc turut dianggotai oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad; Timbalan Pengarah JBSN Perak, Munir Aliyasak; Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM), Normala Abdul Rashid; bekas Naib Presiden II PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin dan bekas Setiausaha Kehormat Pafa, Tajul Hasnan Omar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN