Isu calon luar: Calon PH, Bebas tolak cabaran debat Ashraf - Utusan Malaysia

Isu calon luar: Calon PH, Bebas tolak cabaran debat Ashraf

SALMEE SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Calon Pakatan Harapan (PH) dan Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh menolak pelawaan debat yang dilontarkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkaitan isu calon luar dibangkitkan mereka.

Calon PH, Dr Salmee Said dan Bebas, Abdul Ramli enggan melayan cabaran berkenaan kerana lebih memilih untuk memberi fokus bertemu rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Abdul Ramli atau lebih dikenali sebagai Latif berkata, penganjuran debat itu dilihat tiada keperluan memandangkan ia hanya akan membuka ruang dan memberi kelebihan buat Mohd. Ashraf.

ABDUL RAMLI

“Ini memang perancangan dia (Mohd. Ashraf) untuk tonjolkan dirinya melalui debat dan disebabkan itu saya enggan melayan provokasi tersebut.

“Saya tidak mahu terperangkap (dengan ajakan debat itu) dan biar rakyat sendiri menilai siapakah calon yang mereka ingin pilih,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai cabaran debat dilontarkan Mohd. Ashraf kepada dua calon berkenaan berhubung isu dakwaan kononnya beliau adalah calon luar.

Mohd. Ashraf dilaporkan berkata, menerusi platform berkenaan, beliau juga sekali lagi boleh memberi penjelasan berhubung isu tersebut di samping membuka ruang kepada dua calon lawan memberi penjelasan tentang perancangan mereka buat rakyat di DUN Kota Siputeh.

Sebelum ini, Salmee dilaporkan berkata, beliau menjangkakan akan meraih kelebihan daripada krisis dalaman dihadapi calon PN dan Bebas.

Kata Salmee, calon PN yang diketengahkan itu adalah orang luar malah dia juga baru saja datang ke kawasan berkenaan menjelang PRN.

Manakala Abdul Ramli pula berkata, gelombang PN dengan mengenengahkan siapa pun calon dianggap boleh menang tidak akan berkesan di Jerlun khususnya di DUN Kota Siputeh.

Dalam pada itu, Salmee ketika dihubungi pula berkata, beliau juga enggan melayan pelawaan Mohd. Ashraf dan lebih memilih untuk memberi fokus bagi mendekati rakyat menjelang hari pembuangan undi nanti.

“Saya lebih fokus untuk bantu rakyat dan enggan melayan permintaan debat itu kerana ini bukannya masa yang sesuai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya