Inisiatif Perlis Bebas Niaga akan diteruskan - Utusan Malaysia

Inisiatif Perlis Bebas Niaga akan diteruskan

MOHD. Shukri Ramli (lapan dari kiri) bergambar bersama peniaga sewaktu Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan meneruskan dan memperkasakan pelaksanaan inisiatif Perlis Bebas Niaga di negeri ini dengan memastikan setiap pengusaha mematuhi semua syarat-syarat ditetapkan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, setiap pengusaha yang beroperasi di bawah inisiatif itu perlu mendapatkan kebenaran lesen Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terlebih dahulu bagi memastikan mereka dapat beroperasi dengan lancar.

Katanya, perniagaan yang diusahakan itu juga perlu beroperasi di kawasan selamat dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai.

“Kerajaan negeri amat titik beratkan konsep 3K (kebersihan, keselamatan dan keceriaan) untuk dipatuhi oleh setiap pengusaha yang beroperasi di kawasan bebas niaga ini.

“Sekiranya pengusaha dapat mematuhi syarat-syarat itu maka tiada masalah untuk mereka beroperasi di bawah inisiatif ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Konsep Perlis Bebas Niaga mula dilaksanakan berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan selepas hilang punca pendapatan berikutan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, konsep bebas niaga itu sememangnya mendapat tumpuan daripada ramai pengusaha namun ada juga di antara mereka yang menghentikan operasi perniagaan separuh jalan.

“Sekiranya mereka meninggalkan gerai selama lebih sebulan maka akan ada tindakan penguatkuasaan diambil.

“Langkah ini diambil bagi memastikan negeri ini dalam keadaan bersih dan teratur khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025 ini,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohd. Shukri berkata, seramai 30 orang pengusaha telah menerima bantuan barangan perniagaan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi mereka selepas ini.

Katanya, jumlah bantuan yang diluluskan itu adalah bernilai RM93,138 sebagai komitmen kerajaan negeri bagi membantu peniaga-peniaga terlibat.

“Saya juga menyeru semua rakyat negeri ini supaya mempunyai motivasi diri untuk keluar dari faktor kemiskinan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya