Impak Winter Sonata, Bae Yong-Joon digilai ramai

Impak Winter Sonata, Bae Yong-Joon digilai ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA dekad lalu, drama bersiri Winter Sonata pernah menjadi fenomena sehingga runut bunyi naskhah itu, From The Beginning Until Now dalam versi asal Korea Selatan dialih ke bahasa Melayu berjudul Sonata Musim Salju.

Kisah romantis hero dan heroin drama ini berjaya memikat hati peminat sehingga nama Bae Yong-Joon menjadi hero pujaan ramai wanita.

Pejam celik, Yong-Joon yang lahir pada 29 Ogos 1972 kini sudah mencecah usia 50 tahun dan boleh dikategorikan sebagai pelakon veteran.

Yong-Joon sememangnya terkenal sebagai pelakon yang sering membawa watak hero dalam seleksi drama romantik di televisyen.

DIPAKSA BERHENTI BELAJAR

Yong-Joon menceburi bidang lakonan sejak zaman remaja dan pernah mengambil jurusan filem, televisyen dan multimedia ketika menuntut di Universiti Sungkyunkwan di Seoul.

Bagaimanapun, selepas perniagaan bapanya gagal, pelakon berasal dari Seoul, ini dipaksa berhenti belajar untuk membantu menyara keluarganya.

Ketika itu, dia hanya mampu meraih pendapatan sebagai pembantu produksi di set penggambaran filem dengan kadar upah yang rendah.

Minatnya terhadap lakonan tidak pernah pudar sehinggalah dia diberi kepercayaan menggalas watak utama menerusi drama bersiri Love Greeting yang disiarkan oleh Korean Broadcasting System (KBS).

Lakonan Yong-Joon mendapat pujian daripada pihak stesen televisyen dan cermin mata yang dipakai menerusi watak tersebut akhirnya menjadi tanda dagang dirinya.

Susulan kejayaan itu, dia terus dilamar membintangi pelbagai drama dengan lebih 12 drama untuk KBS dan rangkaian stesen lain, sebelum mengambil keputusan untuk berehat pada 1999 bagi menyambung pengajian yang tertangguh.

GELOMBANG HALLYU 

Selepas menamatkan pengajian, Yong-Joon kembali aktif berlakon pada 2001 dan membintangi drama bersiri, Hotelier.

Kisah seorang ahli perniagaan yang mempunyai segala-galanya ini mendapat sambutan hangat di Korea Selatan sehingga berjangkit di seluruh Asia.

Ledakan populariti merupakan petanda awal kehadiran Korea Selatan dalam pasaran hiburan Asia, sehingga aliran itu dikenali sebagai hallyu atau gelombang Korea.

Gelombang itu semakin memuncak dengan drama bersiri KBS, Winter Sonata (2002). Walaupun ia hanyalah kisah cinta tipikal pasangan kekasih, persembahan mantap Yong-Joon dengan gandingan aktres, Choi Ji-Woo berjaya memikat hati peminat di rantau Asia.

Syarikat penyiaran di Jepun, Nippon Hoso Kyokai (NHK) menyiarkan drama bersiri itu di saluran satelitnya pada tahun berikutnya sehingga mendapat sambutan peminat di negara itu.

Yong-Joon digelar sebagai ‘Yonsama’ iaitu singkatan namanya digabungkan dengan gelaran penghormatan tertinggi di Jepun.

Fenomena drama ini merebak hingga ke Mesir dan Filipina, termasuk Malaysia. Tidak semena-semena Yong-Joon menjadi sensasi global.

Pada 2004, semasa Yong Joon baru tiba di Jepun untuk mempromosikan buku fotonya, The Image: Volume 1, kira-kira 4,000 peminat membanjiri Lapangan Terbang Narita sehingga pihak berkuasa mengambil tindakan menutup sementara kawasan tersebut.

Antara drama bersiri lain yang pernah dibintangi Yong-Joon seperti Papa pada 1995, A Place in The Sun (1995), First Love (1996), Did We Really Love (1999) dan Dream High (2011).

FOKUS PERNIAGAAN 

Yong-Joon yang memiliki ketinggian 180 sentimeter (cm) kini membuktikan dirinya sebagai ahli perniagaan terkemuka.

Pada 2006, dia dilantik menjadi pemegang saham utama dalam Ottowintech yang kini dinamakan sebagai KeyEast.

Di bawah pengurusannya, firma hiburan itu berjaya menjana keuntungan besar sehingga Yong-Joon mengalihkan tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan pada 2010.

Yong-Joon kini dilaporkan tinggal di Hawaii bersama isterinya, Park Soo Jin yang juga merupakan seorang pelakon. Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya