Imarahkan masjid, jangan jadi monumen sepi - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Imarahkan masjid, jangan jadi monumen sepi – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha perlu dilakukan untuk mengimarahkan masjid agar tidak menjadi monumen sepi yang digunakan pada waktu tertentu sahaja.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Rasulullah SAW sebaik sampai ke Madinah, tidak sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid.

Titah baginda, Rasulullah SAW lebih mengutamakan komponen perisian untuk mengimarahkan masjid yang meletakkan masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat pembangunan ilmu, pusat pembangunan budaya dan pusat pembangunan ekonomi.

Baginda bertitah, membangunkan, memakmurkan dan mengimarahkan masjid ialah sunah.

“Beta gembira mengikuti kemajuan yang berjaya dicipta oleh beberapa buah masjid di negeri Perak melalui program-program yang memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kejayaan-kejayaan tersebut hendaklah dijadikan contoh ikutan oleh masjid-masjid di negeri Perak,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Pengurniaan Watikah Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid dan banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.

Oleh itu, titah baginda falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal dan disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi.

“Masjid tidak seharusnya sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, 30 malam setahun pada bulan Ramadan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha.

“Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, banyak masa, usaha, belanja dan sumber digunakan untuk membina masjid, dan sewajarnya diperlengkap dengan usaha untuk mengimarahkan masjid.

“Adalah penting masjid berperanan lebih aktif sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya,” titah baginda.

Mengenai Majlis Perundingan Masjid, Sultan Nazrin bertitah, ia adalah majlis syura yang merupakan entiti baharu yang diperkenalkan dan ditubuhkan buat pertama kali.

Titah baginda, semoga melalui Majlis itu akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.

Baginda bertitah, Ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna, dikeluarkan dari kotak sempit.

“Ahli Majlis perlu dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.

“Semoga masjid-masjid di negeri Perak akan dapat ditingkatkan pengimarahannya melalui idea-idea segar yang dicetuskan dalam persidangan Majlis Perundingan Masjid,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya