Ibu bapa ambil peluang cuti sekolah kunjungi MJF 2023 - Utusan Malaysia

Ibu bapa ambil peluang cuti sekolah kunjungi MJF 2023

SABARIAH MUSA (kanan) menunjukkan produk IKS yang dijual di reruai daerah Kota Tinggi sempena Festival Majestic Johor di Puteri Harbour.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sesi cuti persekolahan yang bermula kelmarin memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak mereka meluangkan masa mengunjungi Festival Majestic Johor (MJF) 2023 yang sedang berlangsung di Puteri Harbour, di sini.

Seorang pengunjung, Mohd. Ziazuddin Wagiman, 31, berkata, sejak awal dihebahkan dia dan keluarga memasukkan festival itu dalam senarai aktiviti yang akan dilakukan bersama-sama anaknya.

Dia mengakui festival berkenaan amat sesuai untuk semua golongan usia lebih-lebih lagi terdapat reruai Kementerian Kesihatan yang memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai.

“Banyak juga reruai usahawan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan produk. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengenali agensi kerajaan serta produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) dihasilkan di daerah-daerah dalam Johor yang turut dipamerkan dalam festival ini.

“Kunjungan ke festival ini memang berbaloi dan menghiburkan kerana terdapat juga persembahan artis tempatan dan kita boleh bertemu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pengunjung, Aniq Aziq Zairi, 2O, turut teruja mengunjungi festival itu untuk menyaksikan pameran daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)

Jika selama ini dia hanya menonton perlawanan JDT dari jauh di stadium, namun dalam festival itu dapat melihat pameran melibatkan pasukan kesayangannya itu secara lebih dekat.

Pelatih di Institut Kemahiran Mara Johor Bahru yang kini sedang menjalani praktikal mengambil peluang sempena hari cutinya berkunjung ke festival itu.

“Memang teruja untuk datang ke festival ini hanya semata-mata kerana JDT. Tapak pameran juga amat selesa untuk melihat pameran JDT. Orang tua saya juga boleh meronda melihat pelbagai reruai lain yang ada.

“Selain produk dari serata negeri, banyak juga terdapat reruai yang mempromosikan produk golongan artis yang memang menarik minat orang ramai,” katakan.

Dalam pada itu, seorang usahawan, Sabariah Musa mengakui penganjuran festival itu secara tidak langsung membantu golongan usahawan mempromosikan produk masing-masing.

Katanya, jika sebelum ini produk yang ada hanya boleh didapati di daerah sahaja, namun menerusi festival itu berjaya mengumpulkan banyak produk dari seluruh daerah dalam satu platform.

“Sambutan daripada pengunjung amat baik apabila melihat hasil kraf tangan, barangan dan produk-produk tempatan. Dengan cara ini membantu kami para usahawan melariskan jualan dan mengembangkan rangkaian perniagaan di sini,” katanya.

Festival Majestic Johor 2023 yang sarat dengan pelbagai aktiviti menarik berlangsung selama sembilan hari hingga 3 September ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN