——-MUKADIMAH—-
DIPECAT sebagai ahli UMNO menjadi berita pertama kepada calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Jeram, DATUK HARRISON HASSAN apabila namanya diumum bertanding di kawasan tersebut mewakili seteru Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, dalam perkongsiannya bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar SADDAM YUSOFF, beliau yakin membawa perubahan kepada Jeram dan enggan mengulangi kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu.
UTUSAN: Gugur sebagai ahli UMNO selepas diumum menjadi calon PN pada PRN Selangor, kenapa pilih PN?
HARRISON: Hari ini landksap sudah berbeza dan saya ikut peredarannya, rakyat mahukan perubahan dan pembaharuan. Jadi hari ini rakyat sudah menunjukkan beberapa kali, bukti mereka mahukan perubahan. Saya kira PN hari ini menepati ciri-ciri itu dengan slogan ‘Selangor Baharu’.
Adakah Datuk merasakan masih dibayangi UMNO/BN walaupun bertanding di Jeram menentang calon BN?
Oleh kerana pengalaman yang lama, hari ini saya menawarkan satu kaedah baharu kepada rakyat. Sebenarnya suatu perkara yang positif, akar umbi UMNO merupakan akar umbi sebenar, tidak setuju dengan hala tuju parti mereka. Saya tiada masalah kerana saya boleh rasional dengan mereka.
Keputusan diambil untuk bertanding di Jeram, apa istimewanya kawasan itu yang boleh diketengahkan?
Jadi saya dipilih dan diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di Jeram, tiada masalah untuk saya. Jeram memang bagi saya suatu kawasan yang baik dan menepati ciri-ciri Malaysia kerana dari segi demografinya ada kawasan perbandaran, kampung, ladang kelapa sawit, kawasan nelayan, inilah sebenarnya mini Malaysia.
Jeram terbahagi kepada dua kawasan, kampung dan Bandar Puncak Alam, bagaimana hendak pastikan keseimbangan pertumbuhan ekonomi, sosial di kedua-dua kawasan?
Di Jeram banyak potensi, mungkin orang luar hanya tahu di Jeram ada pantai, restoran ikan bakar, di Jeram seperti Pantai Remis, kawasan-kawasan kampung semua potensi. Keduanya, Bandar Puncak Alam sebagai contoh perbandaran maju, ada potensi untuk terus dimajukan.
Cuma dalam kita membuat pembangunan, masalah-masalah lazim akan timbul seperti kesesakan jalan raya dan pencemaran, itu semua kena selesaikan. Tetapi bagaimana kita hendak mengimbangi pembangunan ke hadapan dengan kita memastikan perkara seperti pemuliharaan alam semula jadi, hartanah warisan penduduk tidak terjejas.
Apakah keyakinan dan kekuatan Datuk untuk memenangi DUN Jeram?
Parti politik bila terlalu besar, terlalu hierarki atau tinggi, kadang-kadang yang berada di atas tidak merasakan kehendak sebenar rakyat. Jadi saya tahu, yakin dan berniat untuk tidak mengulangi kesilapan pemimpin yang lepas. Saya yakin boleh menang dan membawa suatu perubahan dan pembaharuan yang baik kepada masyarakat.-UTUSAN











