LUMUT: Had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembeli rumah kos rendah di negeri ini dinaikkan daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu dibawa Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk diluluskan di peringkat exco dalam masa terdekat.
“Perubahan kelayakan ini dapat meningkatkan bilangan kumpulan yang layak memohon selain memberi lebih banyak keluarga memiliki rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di Sitiawan hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.
Menurut Saarani, jangkaan peratusan kenaikan permohonan berikutan kenaikan had kelayakan pendapatan itu belum ada kerana ia masih di peringkat kertas kerja.
Beliau berkata, namun Perak mempunyai tanah yang luas untuk membangunkan rumah kos rendah.
“Kita akan mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Saarani mengumumkan inisiatif baharu kerajaan negeri menerusi Skim Sewa Perak Sejahtera yang menawarkan rumah-rumah sewa dengan kadar sewa lebih rendah daripada pasaran.
Katanya, pelaksanaan program tersebut dimulakan dengan 12 unit rumah mampu milik di Taman Perakku Serdang di sini.
“Harga sewa ditawarkan dengan diskaun 20 peratus dari kadar semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.
Mengenai Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang, Saarani berkata, ia merupakan projek keempat berjaya disiapkan LPHP tahun ini .
“Projek ini melibatkan 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000,” katanya. – UTUSAN










