PETALING JAYA: Kembali menggegarkan musim baharu Gegar Vaganza, 10 juara kembali berentap merebut kemenangan dan bakal disaingi lima lagi peserta Hot Seats yang akan ditentukan peminat..
Antara juara yang bakal berentap semula adalah Azharina, Datuk Aishah, Naqiu, Siti Nordiana dan Noryn Aziz.
Jaclyn Victor yang sebelum ini menjuarai musim kesembilan turut kembali menggegarkan pentas GV bersaing dengan Hady Mirza, Ayai Ilusi, Aliff Aziz dan Cliff Umar.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, penganjuran GV All Stars ini juga bakal memberi kelainan apabila membuka peluang kepada peminat program realiti tersebut untuk memilih lima lagi peserta melengkapkan persaingan.
“Bukan mudah nak ajak mereka kembali bertanding. Pujukan demi pujukan dah bermula awal, setahun. Tetapi ini bukan musim terakhir, harapnya.
“Peminat juga sudah boleh mengundi lima lagi peserta Hot Seats bermula hari ini (29 Ogos) sehingga 10 September. Kita sudah senaraikan beberapa nama yang pernah berada di kedudukan kedua, ketiga dan keempat.
“Kali ini juga, hadiah untuk juara akan ditambahkan menjadi RM200,000 dan juga hadiah-hadiah lain yang akan diumumkan semasa program berlangsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raqim menambah, tiga juri yang mengadili musim kesembilan, Datuk Ramli MA, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat akan kembali ke kerusi tersebut.
Malah, tahun ini juga merupakan penganjuran paling lama GV apabila peserta bakal bertanding untuk 12 minggu bermula 24 September depan.
“Juri dan format GV akan dikekalkan. Kali ini juga, pentas akhir akan berlangsung di pentas lebih besar, Axiata Arena sempena meraikan 10 musim program ini.
“Dalam pada masa sama, peminat dalam peluang untuk menyaksikan peserta pentas akhir di lokasi yang lebih gah, besar dan berprestij,” ujarnya.
Sementara itu, pengacara bagi GV All Stars bakal diumumkan pada minggu pertama di konsert yang akan diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Juri tetap GV All Stars, Syafinaz pula berkata, 15 peserta musim kali ini mempunyai kepakaran dan kehebatan masing-masing yang bakal memberi saingan padu.
“Semestinya kami mahu peserta beri yang terbaik. Kali ini kita kena tengok bukan sahaja nyanyian, tetapi penampilan, persembahan dan tekniknya.
“Saya rasa tahun ini akan memberi persaingan yang cukup ketat. Ketiga-tiga juri termasuk saya bakal berseronok,” ujarnya.