Guru KAFA harap cadangan gaji tetap dapat direalisasikan

Guru KAFA harap cadangan gaji tetap dapat direalisasikan

Harapan tinggi diletakkan kepada guru KAFA dalam memberi didikan kepada murid-murid namun imbuhan yang mereka terima jauh beza dengan guru sekolah kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Cadangan untuk melakukan kajian dan pertimbangan berkenaan pemberian gaji tetap kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sememangnya disambut baik dan diharap dapat direalisasikan segera.

Seorang guru KAFA di daerah ini, Norfizah Nemat, 45, berkata, dia sudah berkhidmat selama 13 tahun dan dalam tempoh itu jugalah dia masih berharap agar elaun tersebut dapat diberikan secara tetap.

Menurutnya, terdapat cadangan daripada guru KAFA sebelum ini agar mereka sekurang-kurangnya dimasukkan dalam perjawatan kerajaan dengan gred 29.

“Ikutkan isu berkenaan gaji guru KAFA ini sudah lama dibincangkan malah ada yang sudah pun berhenti di usia 60 tahun tidak sempat menikmati gaji tetap yang lebih menjamin buat guru KAFA.

“Kami juga tidak kisah sekiranya diberikan gaji tetap untuk bekerja dalam waktu pejabat serta komited dalam mendidik anak-anak murid dengan ilmu agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norfizah berkata, buat masa ini elaun yang diterimanya adalah sebanyak RM1,050 dan jumlah itu berkurangan selepas ditolak potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, jika guru KAFA mendapat gaji tetap serta diserap dalam perkhidmatan awam, mereka berpeluang untuk menikmati kemudahan Surat Pengesahan Diri dan Pengakuan Pegawai (GL) yang sebelum ini tidak pernah dinikmati guru KAFA.

Sementara itu difahamkan, di Negeri Sembilan ketika ini terdapat keseluruhan seramai 1,654 guru KAFA tulen manakala seramai 331 orang guru KAFA yang mengajar di premis Kementerian Pendidikan.

Kesemua mereka kini mendapat elaun sebanyak RM1,235.50 sebulan termasuk tambahan daripada peruntukan kerajaan Negeri Sembilan sebanyak RM135.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×