Graduan Diploma Sains penerima skrol ke sejuta UiTM - Utusan Malaysia

Graduan Diploma Sains penerima skrol ke sejuta UiTM

Graduan UiTM
ROZIAH Mohd Janor menyerahkan Sijil Khas Penganugerahan kepada Nur Liyana Athirah Izani yang menerima skrol ke satu juta pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-97 di Dewan Agong Tuanku Canselor di UiTM Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penerima skrol ke sejuta Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari kursus Diploma Sains, Nur Liyana Athirah Izani,22, tidak menyangka dirinya dinobatkan sebagai graduan pertama mencecah tujuh angka tersebut.

Dia yang merupakan mahasiswa kampus UiTM Arau Perlis, menganggap hari ini sekadar hari istimewa seperti graduan lain yang akan menerima segulung diploma selepas tiga tahun berjuang di kampus.

“Saya langsung tidak tahu akan diumumkan sebagai penerima skrol ke sejuta pada majlis hari ini. Saya cuma rasa gugup sejak mula datang ke sini pagi tadi. Namun, terkejut apabila pengacara mengumumkan saya sebagai penerima ke satu juta,” katanya kepada pemberita pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke 97 di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, hari ini.

Pada majlis tersebut juga wakil Malaysia Book Of Records(MBOR), Siti Nurhanim Mohd.Noh turut menyampaikan sijil pengiktirafan Satu Juta Skrol kepada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.

Dalam pada itu, anak kepada Izani Sulaiman, 54, dan Noraini Jaafar,53, yang berasal dari Bachok Kelantan itu memberitahu, dia juga teruja apabila menjadi graduan bertuah kerana memenangi sebuah motosikal bernilai RM5,397, cermin mata, penginapan di Melaka dan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selain yuran percuma untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di UiTM.

Sementara itu Roziah memaklumkan, majlis tersebut merupakan simbolik bahawa Institut Teknologi Mara (ITM) atau UiTM berjaya menyempurnakan misi penubuhannya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak.

“Ia boleh dianggap sebagai hadiah sempena menyambut hari ulang tahun UiTM yang ke-24 pada 26 Ogos ini. Saya juga berbangga kerana menerima anugerah ini menjelang persaraan saya tidak lama lagi.

“Semoga pencapaian ini, menjadi pembakar semangat kepada semua warga UiTM untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti yang dikenali dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya