ANALISIS
SERANGAN bertali arus isu unsur nadir bumi (REE) selain dua pertuduhan di mahkamah di bawah Akta Hasutan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak menggoyahkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.
Gabungan yang bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dilaporkan tidak berdepan masalah membentuk kerajaan negeri selepas 12 Ogos ini.
Dengan 35 kawasan yang memiliki majoriti pengundi Melayu, PN hampir pasti menguasai sebahagian besar kerusi tersebut, sekali gus mudah mencapai sekurang-kurangnya 19 kerusi diperlukan untuk bergelar kerajaan.
Malah ‘gelombang Sanusi’ yang melanda memungkinkan PN tiada masalah meraih kemenangan lebih besar.
Namun gabungan itu dilihat masih sukar menembusi empat kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Kota Darul Aman dan Derga yang ditandingi DAP serta Bakar Arang dan Sidam yang menjadi kerusi tradisi PKR sejak 2008.
Meskipun hanya Kota Darul Aman yang memiliki pengundi Cina kira-kira 56 peratus daripada jumlah keseluruhan 25,829 pengundi, tiga lagi kerusi majoriti Melayu itu tetap mustahil untuk ditawan PN.
PN juga sedang memberi tentangan sengit di DUN Gurun yang disandang PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain kerusi Bukit Selambau dan Lunas. Tiga kerusi itu kekal ditandingi PKR.
Barisan Nasional (BN) Kedah yang diberikan 15 kerusi DUN pada PRN dilaporkan melalui jalan berliku untuk sekurang-kurangnya mempertahan tiga kerusi dimenangi pada PRU14.
Selain tiga kawasan tersebut iaitu Sungai Tiang, Guar Chempedak dan Bandar Baharu, BN juga berhempas pulas merampas kembali DUN Pedu yang menampilkan semula Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Percaturan menghantar Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar ke DUN Alor Mengkudu juga masih memerlukan kerja keras daripada Naib Presiden Parti Amanah (Amanah) dan jenteranya, seperti yang diakui oleh penyandang kerusi itu jika mahu menang. – UTUSAN