Garis panduan rasuah semasa pilihan raya tak perlu

Garis panduan rasuah semasa pilihan raya tak perlu

Azam Baki (kanan) menunjukkan kamera badan yang akan digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas melancarkannya di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum berhasrat memperkenalkan sebarang garis panduan atau peraturan berhubung kesalahan rasuah yang dilakukan calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua pihak diminta untuk memahami undang-undang sedia ada di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diwujudkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

“Dalam Seksyen 10 juga secara jelas menjelaskan apa yang boleh dibuat dan tidak perlu dilakukan oleh agen dan juga calon. Mereka perlu patuh dan memahami kesalahan dinyatakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa kerajaan menyediakan satu panduan khas berhubung pemberian bantuan khas semasa pilihan raya.

Azam turut mengesahkan belum menerima apa-apa aduan berkaitan rasuah ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Sementara itu beliau berkata, SPRM mengambil inisiatif menggunakan sebanyak 142 unit kamera badan (BWC) kepada pegawai yang menjalankan operasi siasatan bagi membanteras tohmahan dibuat segelintir individu.

Pemakaian BWC bertujuan merekod secara audio dan visual setiap tugasan serta peristiwa berlaku semasa proses siasatan dijalankan SPRM.

Dalam pada itu, agensi berkenaan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan agensi penguatkuasaan selain Jabatan Imigresen (JIM) berhubung kes rasuah kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

Azam berkata, ini termasuk kemungkinan ada pegawai JIM sendiri yang berada di negara ini turut terlibat ekoran penahanan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh pada April lalu.

Terbaharu, seorang pegawai penguat kuasa berpangkat M44 dengan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja ditahan Khamis lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengesyaki kes yang dijalankan di bawah Op Taka itu, wujud sejumlah wang besar disalurkan melalui sistem ‘hawala’ di beberapa tempat iaitu pemindahan dari tangan ke tangan untuk membawa keluar wang dari negara ini.

Mengenai aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah, beliau berkata, lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu.

Menurutnya, kes berkenaan bukan hanya melibatkan siasatan berunsur wang semata-mata, tetapi ia turut membabitkan isu pematuhan dalam kelulusan aktiviti perlombongan REE itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN