KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, tetap dengan pendirian meneruskan tindakan saman terhadap individu yang memfitnahnya di media sosial, bulan lalu.
Katanya, tindakan itu bukan untuk kepentingan dirinya tetapi adalah demi kepentingan awam sekali gus menjadi amaran jelas terhadap individu yang merosakkan
keharmonian masyarakat dengan budaya fitnah.
“Saya ingin maklumkan peguam saya, Syed Afiq Syed Albakri dari Tetuan Zharif Nizamuddin telah memfailkan saman bagi pihak saya terhadap seorang individu yang memfitnah saya melalui media sosial.
“Saya ingin tegaskan saman fitnah ini bukan hanya untuk kepentingan saya sebagai seorang individu, tetapi ia adalah langkah proaktif untuk melawan fitnah yang tidak melambangkan budaya rakyat negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di kedai minuman miliknya, di sini, hari ini.
Peguam plaintif memaklumkan writ saman dan penyataan tuntutan terhadap defendan, Md. Johan Dihani Mohd. Zaini sudah diserahkan kepada mahkamah, semalam.
“Hari ini kami sudah terima abstrak dari mahkamah, kes sudah difailkan dan hanya tinggal serahan kepada defendan melalui peguam caranya,” jelasnya.
Julai lalu, individu yang memfitnah Shuib, John Dihani membuat permohonan maaf secara terbuka dan berharap dapat bertemu empat mata dengan pelawak itu.
Menerusi sebuah hantaran dalam Instagram, John Dhani mengakui kesilapannya memuat naik sebuah poster iklan barang kemas dan menurunkan komen yang menjerumus ke arah fitnah.
Shuib juga bertegas untuk tidak memberi muka kepada individu yang telah menabur fitnah mengenai dirinya termasuk Allahyarham isteri, Siti Sarah Raisuddin berhubung kaitan organisasi Freemason.