PETALING JAYA: Episod fitnah berhubung aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam kini sudah berakhir selepas bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani dilapor menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya serta diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan menarik balik rayuan itu dimaklumkan peguam beliau, Noorazmir Zakaria semalam.
Menurut Mujahid, rayuan Ahmad Dusuki itu berhubung dengan saman fitnah yang difailkan terhadap beliau berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya berbunyi ‘Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan’.
“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak Pas sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Mujahid berkata, Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini telah menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000.
“Ketika Mahkamah Sesyen menolak saman Dusuki terhadap saya, Mahkamah Sesyen telah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.
“Di peringkat Mahkamah Tinggi pula, Mahkamah Tinggi ketika menolak rayuan Dusuki sekali lagi telah mengesahkan bahawa ciapan saya itu mempunyai justifikasi kerana ia merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan Dusuki yang disiarkan di YouTube pada 20 Februari 2020 bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.
“Selain itu, terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh bekas Perdana Menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan; dan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” katanya.
Oleh itu katanya, tindakan Ahmad Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu membuktikan beliau akhirnya telah akur bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.
“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen; RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan.
“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan, semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir,” katanya. – UTUSAN